• Sijil nikah palsu: Ummi Nazeera pertahan ibu Sijil nikah palsu: Ummi Nazeera pertahan ibu
“Saya yakin ibu saya berada dipihak yang benar!” tegas aktres Ummi Nazeera yang hadir menemani ibunya pada sebutan kes memalsukan sijil nikah yang berlangsung di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada Jumaat lalu.

Ummi atau nama sebenarnya, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 24, tampil memberi penjelasan selepas ibunya, Datuk Maziah Musa didakwa oleh bapanya iaitu usahawan Datuk Zainul Abidin Mat Akhir berhubung kes jenayah tersebut.

“Saya tetap yakin ibu saya teraniaya,” kata aktres berkulit hitam manis ini yang berkali-kali menegaskan bahawa ibunya tidak bersalah dan mempunyai bukti-bukti yang kukuh.

“Ibu telah merujuk surat nikahnya itu kepada Majlis Narathiwat dan sijil itu diperakui oleh pihak di sana. Lagipun saksi yang tampil hari ini tidak relevan. Sebab itu peguam bela kami tidak bertanyakan apa-apa soalan kepada saksi itu tadi,” katanya.

Akui sangat terkejut mengenai tuduhan terhadap ibunya itu, kes yang berlanjutan itu sikit sebanyak mengganggu pelajarannya sewaktu dia melanjutkan pengajian dalam jurusan perniagaan di di Royal Melbourne Institute Technology (RMIT), Australia.

“Saya terkejut bila mendapati pertuduhan terhadap ibu saya. Sebenarnya perkara ini dari tahun lepas lagi.  Saya akui dengan sebutan kes ibu ni sikit sebanyak mengganggu pelajaran saya.

“Malah, sebelum ini juga ada beberapa laporan media yang kurang tepat mengenai ibu saya, jadi hari ini saya tampil untuk menjelaskannya,” katanya yang turut mengesahkan sudah tamat pengajian di Melbourne sejak Disember tahun lalu.

Percanggahan tarikh

Sementara itu abang Ummi, Nazreem Musa berkata mereka adik-beradik akan tetap menyokong ibu mereka.

“Sebagai anak-anak kami percaya ibu kami dan sentiasa berada dibelakang ibu untuk terus menyokongnya,” katanya.

Laporan sebelum ini menyebut, Maziah masih merupakan isteri kepada seorang lagi ahli perniagaan, iaitu Zainul  yang juga merupakan pengadu di dalam kes ini. Kedua-dua mereka  mendirikan rumahtangga dengan perkahwinan kali pertama pada 26 Mac 1988 di Narathiwat Thailand.

Perkahwinan kali kedua antara beliau dengan  Maziah sebenarnya telah berlaku pada 2 Januari 1999 dan bukannya pada 25 Disember 1997 sepertimana yang didakwa oleh Maziah.

Pertikaian dalam kes adalah mengenai tarikh perkahwinan sebenar kali kedua di antara  pengadu dengan Maziah, yang mana sehingga ke hari ini mereka berdua masih lagi kekal sebagai pasangan suami isteri. Namun Maziah dikatakan telah berkahwin lain.

Maziah juga dituduh pada 20 Mei 2013 di Mahkamah Majistret Jalan Duta Kuala Lumpur dengan sengaja memberikan keterangan palsu pada perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 16 Oktober 2009.

Berdasarkan kepada pertuduhan, beliau dituduh melakukan kesalahan itu semasa perbicaraan di Mahkamah Syariah tersebut dengan menggunakan sijil nikah palsu bertarikh 25 Disember 1997 yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Narathiwat Thailand sebagai benar.

Pertuduhan dibuat di bawah seksyen 193 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 193 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun dan denda jika didapati bersalah.

Marziah diwakili peguam bela, Datuk Zainul Rijal Zainal Abidin. Mahkamah memutuskan perbicaraan kes ini akan bersambung di pada 14 dan 5 Mei depan.