• Penoreh getah jadi usahawan berjaya Hasmah menunjukkan sebahagian produk dihasilkannya yang disimpan di kawasan tempat simpanan produk di rumahnya, di Kampung Langkap, Setiu.
SETIU - Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Pepatah itu tepat menggambarkan kegigihan pasangan suami isteri di Kampung Langkap, di sini, yang kini mampu menjana pendapatan kasar mencecah RM30,000 sebulan hasil perusahaan memproses sos.

Kehidupan dilalui Ghazali Yusof, 70 dan Hasmah Hassan, 62, sebagai penoreh getah suatu ketika dulu hanya tinggal kenangan apabila perusahaan yang dijalankan sejak 2001 kini berjaya menghasilkan 11 produk.

Menurut Hasmah, terdahulu dia menyertai perkumpulan wanita pekebun kecil di bawah Risda sebelum mengambil keputusan bergerak sendiri sekitar tahun 2000 dan berjaya mengeluarkan produk sendiri setahun selepas itu dengan hanya bermodalkan RM600.

“Menggunakan duit simpanan, saya beli peralatan termasuk periuk dan produk pertama dihasilkan ialah kicap dan sos pencicah. Ketika itu, satu periuk hanya dapat hasilkan kira-kira 200 botol sehari.

“Hasil keuntungan jualan saya buat tambah modal sehinggalah pada 2003, menggunakan duit pinjaman keluarga saya beli mesin untuk memasak berharga RM13,000. Produktiviti juga meningkat iaitu mampu hasilkan kira-kira 1,000 botol sehari,” katanya.

Katanya, pada awal perniagaannya, pasarannya hanya sekitar kampung dan daerah ini sahaja.

“Saya dan suami sendiri yang edarkannya ke kedai-kedai. Namun, penerimaan pelanggan terhadap produk sos dikeluarkan ini membolehkan ia diperluaskan ke beberapa daerah lain di negeri ini.

“Lazimnya, dalam sebulan kami beroperasi dengan dibantu empat pekerja dalam 20 hari sahaja dan satu hari satu jenis produk akan dikeluarkan. Bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan serta permintaan semasa pasaran,” katanya.

Kata nenek kepada 15 cucu ini, dia bersyukur kerana perusahaan dijalankan bersama suaminya itu mampu bertahan sehingga kini serta diterima pembeli.