Friday, March 14, 2014

Kempen berkelah Sunway Lagoon


ANTARA aktiviti mencabar ditawarkan termasuklah flying fox.


RUANG udara dipenuhi dengan bunyi gelak tawa kanak-kanak yang seronok berkelah di gigi pantai buatan manusia di Pantai Luncur Taman Hiburan Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor.
Segelintir mereka teruja membasahkan buku lali dan ada juga yang sibuk mengorek pasir membuat istana idaman masing-masing menggunakan set peralatan mainan pasir.
Seramai 60 kanak-kanak dari rumah kebajikan, Yayasan Sunbeams Home dan City Revival itu dibawa khas untuk berkelah bersempena kempen cuti sekolah School’s Out Quack’s In yang dilancarkan oleh Sunway Lagoon baru-baru ini.

ORANG ramai mengambil peluang menyejukkan diri dengan melakukan aktiviti air pada musim panas.


Menyokong aktiviti sihat bersama keluarga, Pengurus Besar Yayasan Sunbeams Home, Victor Maniam berkata, kempen tersebut mampu meningkatkan nilai hubungan di antara kanak-kanak dan keluarga.
“Berkelah merupakan salah satu aktiviti paling mudah dilakukan bersama ahli keluarga dan saya pasti anak-anak adalah golongan yang paling teruja.
“Di samping memanfaatkan masa pada cuti sekolah dengan acara sihat, hubungan kekeluargaan juga dapat dieratkan menerusi aktiviti-aktiviti seperti bermain pasir dan luncur air,” jelasnya yang turut teruja melihat aksi kanak-kanak dari yayasannya bermain air.

SERAMAI 60 kanak-kanak dari dua rumah kebajikan diberi peluang menikmati perkelahan di Sunway Lagoon sempena pelancaran kempen School's Out Quack's In.


Pengalaman baharu
Tambahnya, menerusi aktiviti tersebut anak-anak dapat menerokai pengalaman baharu dan tidak hanya berkurung di dalam bilik untuk bermain permainan video di komputer.
Selain seronok bermain di tepi pantai sambil menikmati bekalan makanan, anak-anak dari rumah kebajikan itu juga dihiburkan dengan gelagat dua badut nakal dan maskot Captain Quack serta Lady Quack.
Dalam pada itu, Pengarah Perundingan Sunway Lagoon, Bill Holman memberitahu, kempen tersebut menawarkan harga pakej keluarga bernilai RM275.
AKTIVITI go-kart turut disediakan dengan bayaran sebanyak RM20 untuk setiap perjalanan.


“Pakej ini untuk dua orang dewasa dan dua kanak-kanak. Kami juga akan memberikan baucar makan percuma bernilai RM20 dan runcit sebanyak RM10.
“Anda juga boleh menambah RM40 untuk mendapatkan set bakul berkelah edisi terhad Sunway Lagoon yang mempunyai tikar dan minuman di dalamnya,” jelasnya.
Bersempena dengan kempen cuti sekolah itu juga, pengunjung disarankan mengambil bahagian dalam aktiviti mencari harta karun Cari, Ambil dan Menang untuk berpeluang memenangi pelbagai hadiah lumayan.
Bagaimanapun, Holman berkata, acara berkelah bukan sahaja mengenai bermain air dan pasir, tetapi ahli keluarga juga boleh melakukan aktiviti menyeronokkan di 80 jenis tarikan di Sunway Lagoon seperti perjalanan air taman tema terbesar di dunia, Vuvuzela, Waterplexx Lima Dimensi pertama dunia dan Taman Hidupan Liar Interaktif.

UJIAN keberanian anda dengan mencuba terjun lelabah ini.


Tiga taman tema
Aktiviti-aktiviti tersebut merupakan sebahagian daripada tarikan tiga taman tema yang diperkenalkan Sunway Lagoon iaitu Dunia Pengembaraan, Hutan Liar Barat dan Perairan Afrika.
Mengulas lebih lanjut tentang taman hiburan itu, Holman memberitahu, suasana yang diwujudkan memberi peluang kepada warga elit untuk menikmati pengalaman berkelah seperti di tepi lautan sebenar dengan suasana nyaman dan bunyi deruan ombak.
Terdahulu, Sunway Lagoon turut menawarkan aktiviti-aktiviti mencabar seperti terjun lelabah, go-kart, paintball dan G-Force X.
Tiket masuk untuk dewasa dan warga emas bukan warganegara ialah RM120 dan RM90 manakala bagi warganegara dewasa (RM90) dan warga emas (RM65). Waktu operasi bermula dari 10 pagi sehingga 6 petang untuk setiap hari. Untuk maklumat lanjut anda boleh melayari www.sunwaylagoon.com.my atau hubungi di talian 03-5639 0000.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: