• Ikan air tawar kini menu utama kenduri Pengarah LKIM Terengganu, Mohd Saffe Mohd (dua kanan) semasa membuat tinjauan di pusat pengedar ikan air tawar yang diusahakan oleh Razidi (kiri) di Pelabuhan Chendering.
KUALA TERENGGANU – Permintaan terhadap ikan air tawar di Terengganu bukan sahaja semakin meningkat, malah kini turut dijadikan menu utama dalam majlis kenduri, termasuk majlis perkahwinan.

Seorang pengusaha, Razidi Md Zain, 40, berkata, sejak 18 tahun bergiat dalam industri ini, perusahaan ikan air tawar semakin dapat tempat di hati penduduk di negeri ini.

Menurutnya, antara ikan air tawar yang menjadi kegemaran ramai ialah patin, baung, tilapia dan keli manakala patin masak tempoyak antara hidangan menjadi pilihan utama untuk disajikan pada majlis yang diadakan.

“Dulu ikan air tawar agak sukar menembusi pasaran negeri ini maklumlah budaya kita dari dulu lagi ialah makan ikan dari laut (ikan segar).

"Tetapi sekarang, ikan air tawar semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Terengganu,” katanya.

Razidi yang juga pemilik Sidi Aquafarming di Pelabuhan Chendering merupakan pengedar ikan air tawar terbesar di negeri ini, setelah mendapat bantuan dan nasihat daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Menurutnya, purata jualan sebulan ikan air tawar seperti patin dan keli mencecah 2,000 kilogram sebulan manakala tilapia mencecah sehingga 1,000 kilogram serta baung pula mampu dijual sehingga mencecah 500 kilogram. 

“Ada kalanya, saya kekurangan bekalan kerana tempahan yang diterima melebihi bekalan yang ada,” katanya yang sebelum ini hanya menjual ikan air tawar di pasar-pasar tani sekitar daerah Kuala Terengganu.

Razidi berkata, patin dijual dengan harga RM10 sekilogram, tilapia RM12, keli RM7 dan baung RM16 tetapi harga menjadi rendah apabila pelanggan membeli secara borong iaitu setiap kilogram patin adalah RM8, keli RM6, tilapia RM10 dan RM15 bagi
baung.

Dalam pada itu, katanya, benih anak ikan diperoleh dari luar negeri ini seperti dari Pahang dan Kuala Lumpur dengan jumlah yang dibeli sehingga 10,000 ekor dan boleh dibahagikan kepada 2,000 ekor untuk setiap sangkar berkeluasan 16 x 20 kaki.