Tuesday, March 18, 2014

Di Bawah Lindungan Kaabah cungkil bakat muda



PESERTA yang berjaya dalam sesi uji bakat bergambar bersama tenaga produksi teater Di Bawah Lindungan Kaabah yang akan dipentaskan dari 9 hingga 18 Mei depan di Istana Budaya.


PEMENTASAN teater secara komersial di Malaysia semakin berkembang sejak tertubuhnya Istana Budaya di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sekitar 15 tahun lalu.
Teknologi canggih, pelbagai kemudahan dan kapasiti sebanyak 1,400 penonton pada satu-satu masa di panggung tersebut menarik perhatian banyak pihak untuk mementaskan teater di situ sama ada produksi tempatan atau luar negara.
Tahun ini beberapa teater besar akan memenuhi kalendar Istana Budaya termasuklah adaptasi novel penulis ulama terkenal Indonesia, Allahyarham Prof. Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah) yang berjudul Di Bawah Lindungan Kaabah.
Lazimnya, apabila teater berskala besar dipentaskan, ia memerlukan bilangan pelakon yang ramai antara 50 hingga 150 orang. Justeru, peluang ini dibuka oleh produksi teater Di Bawah Lindungan Kaabah (DLK) kepada 40 bakat baharu bagi berganding dengan nama-nama besar pada persembahan yang berlangsung dari 9 hingga 18 Mei depan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Mereka terdiri daripada pelajar universiti, kakitangan swasta, pegawai kerajaan, penggiat seni dan pelajar sekolah yang berusia antara tujuh tahun hingga 45 tahun. Mereka dipilih melalui sesi uji bakat yang diadakan di Istana Budaya, baru-baru ini.
Uji kemampuan
Menurut Pengarah Pemasaran dan Promosi DLK, Chloe Siao Hui Boon, pemilihan tersebut dilakukan oleh Siti Rohayah Attan (Penerbit), Rosminah Mohd. Tahir (Pengarah & Penulis Skrip) dan A. Aris Kadir (Koreografer) melalui dua saringan yang menekankan kebolehan tarian, lakonan dan nyanyian.
"Uji bakat tersebut diadakan bagi memberi peluang kepada bakat-bakat baharu dalam bidang seni untuk menguji kemampuan mereka dalam bidang ini.
"Mereka yang dipilih dibahagikan kepada kategori kanak-kanak, remaja dan dewasa. Mereka diberi peranan sebagai pelakon tambahan atau ensemble," tambah Chloe Siao yang menguruskan hampir 100 peserta yang mencuba nasib.
Menurut beliau, melalui uji bakat seharian itu seramai 40 orang terpilih. Ada antara mereka pernah terlibat secara kecil-kecilan dalam persembahan teater seperti Muzikal Tun Mahathir, Upin dan Ipin The Musical dan Nyonya & The Gang.
"Justeru, panel pemilih tidak berhadapan dengan kesukaran kerana mereka telah sedia maklum apa yang diperlukan dalam sesi uji bakat.
"Mereka berkemampuan untuk menari secara muzikal, berlakon dan sebahagiannya mempunyai bakat nyanyian yang sangat baik," kata Chloe Siao sambil menambah ada peserta yang berusia empat tahun turut mencuba bakat.

KOREOGRAFER terkenal, A. Aris menunjukkan gerak asas tarian kepada peserta uji bakat teater Di Bawah Lindungan Kaabah di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Bakat-bakat baharu yang terpilih akan mula menjalani latihan pada akhir Mac ini sehinggalah tarikh persembahan pada 9 Mei nanti.
Sebanyak 14 persembahan akan diadakan iaitu pada hari Sabtu dan Ahad serta persembahan petang dan malam.
Teater karya penulis besar kelahiran Padang, Indonesia, Allahyarham Prof. Hamka ini dilakonkan oleh Adi Putra, Nasha Aziz, Elfira loy, Fizo Omar, Yasmin Hani Richardson, Dafi AF (Akademi Fantasia), Zahid AF, Liza Abdullah, Alina Hassan, Taufeq Izmir, Wafiy Irfan, Tun Amiera Rania dan 70 pelakon lain.
Lagu-lagu yang dipersembahkan di dalam teater DLK dicipta dan digubah oleh Datuk Suhaimi Mohd. Zain (Pak Ngah) manakala liriknya oleh Rosminah.
Harga istimewa
"Bagi persembahan ini, kami juga menawarkan tempat duduk yang menarik pada harga istimewa kepada semua pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi yang datang secara berkumpulan iaitu sekurang-kurangnya 40 orang.
"Tawaran ini terbuka terutamanya pada persembahan sebelah petang yang bermula dari pukul 3 hingga 5 petang pada 10, 11, 17 dan 18 Mei," tegas Chloe Siao.
DLK merupakan adaptasi novel yang dikarang oleh Hamka pada tahun 1938 dan diterbitkan oleh Pustaka Antara, Kuala Lumpur.
Novel roman ini ditulis sewaktu beliau bekerja sebagai editor sebuah majalah Islam mingguan di Medan. Karya ini mengisahkan tentang perjuangan kehidupan pasangan muda Minang yang berasal daripada latar belakang sosial berbeza.
Karya tersebut mendapat sambutan hangat seluruh Nusantara malah dibaca sehingga kini. Filem mengenainya juga pernah dihasilkan pada tahun 1978 dan 2011. Bagaimanapun, inilah pertama kali buku tersebut diadaptasi untuk dijadikan persembahan teater.
DLK diterbitkan bersama oleh CTRA Production dan Istana Budaya dengan kerjasama Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM), Yayasan Amanah Perdana Malaysia (YAPM) dan FAREEDA.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: