• Curi lembu: Tembak guna ubat pelali Rosman menunjukkan kesan suntikan pelali pada leher lembunya di Kampung Padang Buluh, Hulu Besut.
BESUT - Kegiatan mencuri lembu dengan cara menembak menggunakan ubat pelali sebelum melarikan lembu berkenaan untuk dijual, kini dikatakan semakin berleluasa di kawasan Hulu Besut, di sini.

Dalam kejadian pagi kelmarin, dua lembu milik penduduk hilang dipercayai dicuri pihak berkenaan, bagaimanapun dua lagi tidak sempat dilarikan selepas mereka terserempak dengan penduduk kampung.

Mangsa, Rosman Awang, 52, berkata, dia menyedari kejadian itu setelah jiran sekampung memaklumkan lembunya terbaring di tepi jalan dengan keadaan kedua-dua kaki belakang terikat berhampiran kebun kelapa sawit di jalan Padang Tapong-Lata Tembakah dekat Kampung Padang Buluh, kira-kira jam 7 pagi kelmarin.

Menurut Rosman, setibanya di tempat kejadian kira-kira 500 meter dari rumahnya, dia mendapati lembunya dalam keadaan separuh sedar dengan dua jarum dipercayai ubat pelali ada pada lembu itu dan satu lagi berhampiran lembu itu.

“Lembu itu dipercayai ditembak dengan pelali sekurang-kurangnya empat kali, berdasarkan kesan pada leher dan kaki. Pencuri bertindak sedemikian kerana saiz lembu itu agak besar dan harga di pasaran sekarang sekitar RM3,500,” katanya.

Bagaimanapun, kata Rosman, pencuri itu tidak sempat melarikan seekor lagi lembunya yang sudah pengsan dan seekor lagi milik rakannya yang sempat ditembak sekali, selepas terserempak dengan penduduk kampung yang keluar menoreh getah kira-kira jam 5.30 pagi.
Malah katanya, penduduk terbabit juga ada memberitahu ternampak sebuah lori kecil dan kereta di tepi jalan berhampiran lembunya itu, namun ketika itu mereka tidak mengesyaki sebarang perbuatan mencurigakan.
"Akibat terlalu banyak pelali, lembu itu tidak mampu berdiri dan bergerak hingga saya terpaksa memberi lembu itu minum air kelapa sebagai penawar, selain memandikan beberapa kali. Namun selepas sehari diberi rawatan, akhirnya lembu itu semakin pulih dan dibawa pulang ke rumah untuk diberi rawatan.
“Kejadian kelmarin pertama kali berlaku membabitkan kecurian lembu menggunakan ubat pelali, semenjak saya dan rakan-rakan menternak secara lepas bebas di ladang kawasan ini hampir 20 tahun lalu,” katanya.
Rosman berkata, dia percaya aktiviti mencuri lembu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini kerana permintaan tinggi sempena cuti persekolahan sekarang.
Susulan itu, menurut Rosman, dia bersama dua rakannya membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Pasir Akar, Hulu Besut, petang kelmarin.

“Seorang jiran sekampung turut kehilangan dua lembu jantan pada hari sama, setelah usaha mencari lembu dilepas bebas di dalam ladang kelapa sawit di situ menemui kegagalan,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor mengesahkan menerima laporan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.