Tuesday, February 25, 2014

Tergamak rompak rantai leher kanak-kanak


  • Tergamak rompak rantai leher kanak-kanakRozita dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam. 

KUALA TERENGGANU - Tindakan bodoh seorang wanita merompak seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dengan melarikan rantai leher yang dipakainya menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hakim Azhar Othman membuat keputusan itu selepas Rozita Jusoh, 36, dari Jalan Pulau, Seberang Takir, di sini, mengaku salah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak.

Ibu kepada empat anak itu mengaku salah melakukan rompakan dengan melarikan seutas rantai leher milik mangsa yang bernilai RM1,600 di sebuah rumah di Kampung Seberang Takir, di sini, kira-kira jam 11 pagi, 15 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud manakala Rozita tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, Rozita datang ke rumah nenek mangsa dengan berlakon sebagai seorang jurujual yang mahu menjual minyak dan pisau.

Ketika itu, mangsa turut berada bersama neneknya sebelum Rozita bertindak menarik rantai leher dipakai mangsa lalu melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal bersama seorang lelaki yang sedia menunggu di luar.

Susulan laporan dibuat, Rozita yang mempunyai rekod jenayah lampau seperti dadah dan curi ditahan tiga hari selepas kejadian berkenaan di sekitar bandar Kuala Terengganu.

Ketika ditahan, polis turut menemui semula rantai leher milik mangsa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: