Tuesday, February 25, 2014

'Tandatangan saya ditiru'


  • 'Tandatangan saya ditiru'Fadzil menunjukkan laporan polis yang dibuatnya berhubung individu memalsukan tandatangannya dalam urusan YDP PIBG di Balai Polis Tampin, semalam.

TAMPIN – Seorang bekas Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di salah sebuah sekolah menengah di bandar ini nekad membuat laporan polis semalam berhubung salah laku seorang ahli jawatankuasa (AJK) PIBG yang telah meniru serta memalsukan tandatangannya.

Bekas YDP PIBG berkenaan, Fadzil A Bakar berkata, segalanya terbongkar apabila dia menghadiri Mesyuarat Agong PIBG ke-37 sekolah berkenaan 15 Februari lalu dan mendapati buku laporan mesyuarat yang diedarkan kepada ibu bapa serta tetamu yang hadir menyelitkan notis panggilan mesyuarat bukan ditandatanganinya.

Menurutnya, perkara berkenaan menimbulkan rasa bimbangnya memandangkan maklumat di bahagian laporan kewangan telah menunjukkan beberapa nilaian pinjaman daripada PIBG tanpa pengetahuannya.

“Hal ini jelas menunjukkan berlaku penyelewengan dalam dana PIBG dan apa yang lebih membuatkan saya berasa kecewa ialah apabila tandatangan saya telah sesuka hati ditiru oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Malah, apabila saya rujuk kes berkenaan kepada pengetua, pengetua menyatakan pihak sekolah ada meminjam dana daripada PIBG bagi kegunaan hoki sebanyak RM5,000 sedangkan di dalam laporan kewangan menunjukkan jumlah pinjaman sebanyak RM8,035,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, dekat sini, semalam.

Fadzil berkata, rasa bimbangnya itu mulai bertambah apabila terdapat beberapa kegunaan lain dalam laporan kewangan yang di luar pengetahuannya sedangkan setiap pengeluaran wang haruslah melalui pengetahuannya terlebih dahulu.

Tambahnya, dalam akta dan bidang kuasa seorang YDP PIBG, mereka berhak untuk mengetahui setiap pengeluaran wang dan individu lain dalam PIBG hanya boleh membuat keputusan sekiranya YDP tiada serta jika perlu sahaja.

“Jadi, sebaik melihat laporan kewangan yang baru saya terima semasa menghadiri mesyuarat, saya nekad untuk membuat pengumuman meletakkan jawatan semasa mesyuarat dimulakan iaitu selepas majlis perasmian.

“Saya harap agar kes ini menjadi pengajaran kepada individu berkenaan untuk tidak sesuka hati memalsukan tandatangan saya untuk tujuan tertentu.  Malah, sekiranya ibu bapa mempunyai sebarang persoalan mengenai dana PIBG, mereka boleh berhubung terus dengan saya atau pengetua sekolah berkenaan.

Fadzil berkata, dia amat berharap agar pihak bertanggungjawab dapat menyiasat kes berkenaan dengan sebaik mungkin dan dia juga tidak teragak-agak untuk membawa kes berkenaan ke muka pengadilan kerana tindakan individu berkenaan mencemarkan reputasinya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung kes berkenaan dan kes berkenaan kini dalam siasatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: