Thursday, February 27, 2014

Rezeki kami merudum teruk


  • Rezeki kami merudum terukPemandu teksi LTAS tidak berpuas hati dengan kehadiran teksi eksekutif yang jelas melanggar syarat dalam permit dikeluarkan pihak bertanggungjawab.

SENAI - Seramai 118 pemandu teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini, mendakwa pendapatan mereka terjejas kerana tindakan segelintir teksi eksekutif yang mengambil penumpang di kawasan berkenaan.

Pemangku Yang Dipertua, Persatuan Kebajikan Tuan Punya dan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa, LTAS, Zulkifli Ahmad berkata, tindakan pemandu teksi eksekutif itu jelas melanggar syarat dalam permit dikeluarkan pihak bertanggungjawab.

Menurutnya, kumpulan teksi eksekutif itu sudah beroperasi di LTAS sejak tiga bulan lalu tanpa rasa bersalah dan membuka kaunter di dalam kawasan lapangan terbang berkenaan untuk mencari pelanggan.

“Kita juga menerima aduan daripada orang ramai mengenai caj yang dikenakan pemandu teksi eksekutif adalah dua kali ganda lebih mahal daripada tambang kami. Malah, ada pelancong asing yang mendakwa teksi eksekutif terbabit turut menggunakan laluan lebih jauh.

“Taktik mereka adalah dengan menawarkan harga kupon sebanyak RM2, selepas itu penumpang akan dikenakan tambang mengikut harga meter. Bagi tambang dari LTAS ke pusat bandar Johor Bahru, mereka mengenakan caj sehingga RM80 berbanding harga teksi kami iaitu RM44 sahaja.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung isu kehadiran teksi eksekutif tanpa kebenaran di LTAS, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa (Petekma) Johor, Jefry Jafaar.

Zulkifli berkata, walaupun tindakan penguatkuasaan sudah dijalankan Suruhanjaya  Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) termasuk mengeluarkan kompaun selain menyita teksi terlibat, namun masih ada pemandu teksi eksekutif yang masih berdegil.

“Disebabkan kedudukan kaunter kami agak jauh, secara tidak langsung memudahkan pihak teksi eksekutif terbabit untuk mendapatkan penumpang,” katanya.

Pihaknya turut difahamkan, pengurusan LTAS telah mengeluarkan notis supaya kaunter teksi eksekutif berpindah daripada terus beroperasi selain tindakan berterusan SPAD.

Beliau berharap masalah kehadiran pemandu teksi eksekutif itu dapat diselesaikan.

“Tanpa kehadiran teksi tidak sah di kawasan lapangan terbang ini, saya percaya pendapatan ahli persatuan meningkat berikutan penambahan sehingga lebih 30 penerbangan sehari di LTAS,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: