Friday, February 28, 2014

Persahabatan Formula Ungu Bertahan Selama 17 Tahun


Ungu bergambar kenangan bersama Adibah Noor dan Halim Othman ketika ke udara dalam segmen Ceria Pagi Suria FM pada pagi Jumaat. 
PETALING JAYA: Kumpulan terkenal Indonesia, Ungu mengakui persahabatan yang terjalin di antara anggotanya adalah formula mereka kekal selama 17 tahun sebagai sebuah band.
Vokalis utamanya, Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Syamsuddin Said, 34, berkata, dia percaya jika tiada persefahaman di antara mereka, kumpulan itu pasti tidak dapat bertahan lama dan terkubur.
"Tiada satu formula tertentu mengapa kami masih terus bertahan dan dapat diterima peminat melainkan persahabatan di antara kami selain kita perlu jujur dan mempunyai matlamat sama dalam bidang muzik.
"Selama 17 tahun kami bersama pelbagai cabaran dan rintangan telah kami lalui dan ia lebih menguatkan diri kami untuk terus memperjuangkan muzik buat peminat," katanya kepadamStar Online.
Ungu ditemui selepas ke udara dalam segmen Ceria Pagi Suria FM bersama Halim Othman dan Adibah Noor di Tropicana City Office Tower di sini, Jumaat.
Ceria...Peminat bertuah dipertemukan dengan kumpulan ungu dalam satu sesi beramah mesra yang diadakan di stesen radio itu.
Kumpulan yang turut dianggotai oleh Makki (Bass), Enda (Gitar), Onci (Gitar) dan Rowman (Drum) itu turut meluangkan masa pada acara bertemu 10 peminat bertuah yang turut diadakan di studio stesen radio itu.
Dalam pada itu, Pasha mengakui, bukan mudah untuk kekal sebagai sebuah kumpulan malah mereka pernah terfikir untuk berpecah sekitar tahun 2003.
"Ketika itu kami menghadapi pelbagai kesulitan dan cabaran kerana sering bertukar pihak pengurusan sehingga membuatkan kami hampir berputus asa.
"Tetapi Alhamdulillah kejayaan album 'Demi Waktu' di Indonesia dan Malaysia ketika itu mengubah segala-galanya dan kami masih kekal sebagai sebuah kumpulan walaupun pelbagai rintangan terpaksa dilalui," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai Konsert Ungu Live In Malaysia malam Jumaat (malam ini), Pasha berkata, mereka akan menyampaikan 17 buah lagu hit mereka dan berjanji bakal memberikan persembahan mantap buat para peminat setia mereka.
Ungu bakal mengadakan konsert khas buat peminat di Wholesale City, Star Stage, Kuala Lumpur pada pukul 8 malam ini.
"Sempena 17 tahun kami bertahan sebagai sebuah kumpulan kami akan menyampaikan 17 buah lagu untuk para peminat selain beberapa kejutan.
"Malah kami akan menyampaikan lagu daripada album terbaharu yang masih dalam pembikinan secara eksklusif untuk peminat di Malaysia sebagai menghargai mereka," ujarnya.
Suria FM adalah stesen radio rasmi konsert berkenaan yang bakal berlangsung di Wholesale City, Star Stage, Kuala Lumpur pada pukul 8 malam.
Dalam perkembangan lain, Pasha berkata, album terbaharu mereka bakal dilancarkan pada bulan Jun ini akan memperlihatkan kematangan dan perubahan Ungu daripada segi muzik yang lebih segar.
Jelas Pasha, proses menyiapkan album berkenaan dilakukan sejak dua tahun lalu dan bakal menampilkan 12 buah lagu.
"Kami berkolaborasi dengan pelbagai komposer dan penulis bagi memastikan hasilnya nanti berbeza berbanding album kami sebelum ini namun ia masih mengekalkan identiti Ungu," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: