Wednesday, February 26, 2014

Padah jual motosikal bapa


  • Padah jual motosikal bapaZulkifli mengaku salah menjual motosikal milik bapanya ketika dihadapkan di mahkamah majistret, semalam. 

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dengan riak selamba mengaku salah menjual motosikal milik bapanya semasa dihadapkan di mahkamah majistret, semalam.

Zulkifli Abidin, 38, membuat pengakuan itu di hadapan majistret, Abdul Hayyi Salim selepas pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan harta dengan curang, dibacakan jurubahasa mahkamah.

Dia mengaku salah kerana secara tidak jujur menjual sebuah motosikal Honda C90 milik bapanya, Abidin Sulong, 75, di sebuah kedai membaiki motosikal di Kampung Titian Baru, Kedai Buluh, di sini, jam 2 petang antara Januari hingga Februari lalu.

Dengan itu, dia yang tidak bekerja didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan dengan sebat, serta boleh juga dikenakan denda.

Bagaimanapun, nasibnya bakal ditentukan pada 13 Mac depan selepas Abdul Hayyi menetapkan tarikh berkenaan sebagai tarikh jatuh hukum.

Mahkamah turut membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: