Friday, February 28, 2014

Ikatan kayu balak terputus


  • Ikatan kayu balak terputusKayu balak bertaburan selepas lori balak yang dalam perjalanan ke Pokok Sena melanggar pembahagi jalan di Jalan Kuala Nerang- Pedu semalam.

KUALA NERANG - “Saya hanya mampu memegang sterengkuat-kuat dan bertawakal kerana tidak mampu lagi mengawal selepas lori balak yang saya bawa itu terbalik,” kata Mohd Effendi Md Khir, 32.

Dalam kejadian 10 pagi itu, Mohd Effendi yang dikatakan dalam perjalanan membawa kayu balak dari Pedu ke kilang di Pokok Sena tidak menyangka kayu yang bergerak di belakang lori menyebabkan dia gagal mengawal kenderaannya hingga melanggar pembahagi jalan dan terus terbalik.

Menurutnya, dalam perjalanan ke Pokok Sena dia sudah cuba mengikat kayu balak dengan sempurna.

"Apabila sampai di selekoh Jalan Kuala Nerang ke Pokok Sena tiba-tiba muatan kayu seberat 10 tan itu mula bergoncang dan tiba-tiba tali besi yang diikat kayu itu juga turut terputus hingga menyebabkan lori itu menjadi berat sebelah lalu melanggar pembahagi jalan dan terbalik.

“Saya tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya berserah kepada ALLAH dan nasib baiklah saya juga tidak tercampak di luar dan dilanggar oleh kenderaan lain pula,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya lagi, dia bersyukur kerana semasa kejadian tiada kenderaan yang melalui jalan itu. Manakala muatan kayu yang dibawanya itu pula bertaburan dan masuk ke ladang kelapa sawit berdekatan.

“Kejadian ini mungkin berlaku kerana sepanjang jalan di sini, keadaannya tidak rata dan berolak menyebabkan ikatan pada balak itu akan bergerak hingga tali besi yang diikat pada kayu itu juga turut putus.

“Saya juga turut bersyukur kerana tidak mendapat sebarang kecederaan, malah terima kasih kepada pengguna jalan raya yang sanggup membantu mengawal lalu lintas semasa kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: