Wednesday, February 26, 2014

Empangan Gemencheh hampiri tahap kritikal


  • Empangan Gemencheh hampiri tahap kritikalAir Empangan Gemencheh menunjukkan penurunan berikutan cuaca panas dan ketiadaan hujan di empangan itu.

TAMPIN – Empangan Gemencheh di sini mencatat penurunan paras air dengan bacaan 99.82 semalam, sekali gus menghampiri tahap kritikal iaitu 98 meter.

Paras empangan itu semalam mencatat bacaan terkini 99.82 meter berbanding paras kritikal 98.00 meter dan paras minimum 86.00 meter.

Pengurus Besar Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Zulkifli Ibrahim berkata, pihaknya mendapati empangan Gemencheh agak menurun parasnya dan perlu diberi perhatian.

"Empangan Gemencheh membekalkan air kepada 15,000 pengguna di kawasan Tampin dan Rembau. Buat masa ini, kita sudah mengambil langkah alternatif bagi mengurangkan pergantungan sumber air Empangan Gemencheh kepada kira-kira 15,000 pengguna air di Tampin dan Rembau di mana sebahagian pengguna di daerah Rembau kini dibekalkan sumber air dari Loji Air Sawah Raja.

“Jika sebelum ini, hanya 8.5 juta gelen air yang disalurkan dalam sehari oleh Loji Air Sawah Raja, kini kita sudah maksimumkan penggunaannya kepada 10 juta gelen air sehari bagi mengurangkan pergantungan sumber air Empangan Gemencheh, yang dianggarkan cuma mampu bertahan kira-kira 25 hari sahaja,” katanya ketika ditemui ketika melawat Empangan Gemencheh, di sini, semalam.

Turut serta dalam lawatan itu, Adun Gemencheh, Mohd Isam Mohd Isa dan Pengarah Unit Badan Kawal Selia Air Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Nor Halim Aludin.

Zulkifli berkata, berdasarkan rekod, Empangan Gemencheh menyalurkan kira-kira 7.5 juta gelen air sehari kepada pengguna, manakala, sebahagian lagi pengguna di daerah Tampin menggunakan sumber air dari tiga buah loji air iaitu di Gemas, Pasir Besar dan Dangi yang menggunakan sumber air sungai.

Zulkifli berkata bekalan air empangan Gemencheh kini hanya mampu bertahan dalam tempoh 25 hari sahaja lagi, sekiranya tiada hujan dalam masa terdekat.

Sementara itu katanya, bekalan air di tujuh empangan di Negeri Sembilan setakat ini masih dalam keadaan terkawal namun Sains sentiasa memantau keadaan.

Katanya, bekalan air di empat empangan iaitu Sungai Terip, Kelinchi, Talang dan Gemencheh berada di paras berjaga-jaga manakala di tiga lagi empangan iaitu Sungai Beringin, Ulu Sepri dan Triang berada di paras melimpah.

Menurutnya, pihaknya sentiasa memantau paras air empangan serta sungai di negeri ini dan akan mengetengahkan cadangan kepada Kerajaan Negeri Sembilan dan juga Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) untuk melaksanakan kaedah catuan air sekiranya perlu.

Sementara itu, Mohd Isam berkata, berikutan cuaca panas berterusan, kebanyakan masjid dan surau sudah mula melaksanakan solat hajat bagi memohon hujan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: