Tuesday, February 25, 2014

Anak Tidak Percaya Amy Mastura Seorang Artis


Amy memberitahu anak-anaknya tidak mempercayai dia adalah seorang selebriti.
PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Amy Mastura mendedahkan kedua-dua anak perempuannya tidak percaya dia merupakan seorang selebriti.
Amy atau nama sebenarnya Amy Mastura Suhaimi, 43, berkata, anak-anaknya iaitu Adriana, 14 dan Adalia, 9, mentertawakannya apabila dia bercerita tentang penglibatannya dalam industri hiburan sejak awal 1990-an.
"Mereka sebelum ini tidak pernah mengetahui kerjaya saya sebagai penyanyi dan pelakon selain tidak pernah menonton atau mendengar lagu-lagu nyanyian saya.
"Apabila saya mendedahkan perkara tersebut kepada mereka, kedua-dua mereka tidak mempercayainya dan menganggap saya hanya berjenaka," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun kata Amy, mereka kini semakin mempercayai kata-kata itu selepas wajahnya banyak muncul dalam drama dan iklan di televisyen.
Pelakon filem Puteri Impian itu tidak kisah jika dilabel sebagai seorang artis selekeh.
"Saya kini sedang mengumpul filem lakonan lama saya untuk ditunjukkan kepada mereka tetapi bukan semua, yang terpilih sahaja," ujarnya.
Dalam pada itu, Amy berkata, dia tidak berkecil hati apabila ada sesetengah pihak menganggapnya seorang selebriti selekeh dan tidak tahu menjaga penampilan diri ketika berada di khalayak.
Jelas Amy, sejak awal kemunculannya sebagai penyanyi lagi dia lebih gemar dengan imej santai jika tidak menghadiri sebarang acara atau pertunjukan pentas.
"Kalau keluar rumah saya seorang yang ringkas dan lebih selesa mengayakan baju T dan jean. Tak tahu pula imej macam tu selekeh?
"Jika ada yang berpendapat saya begitu tidak mengapa kerana saya juga manusia biasa seperti orang lain," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Amy berkata, dia bakal muncul dengan single terbaharu dalam masa terdekat untuk para peminatnya sebagai usaha mengubat rindu pada kerjaya seni.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: