Wednesday, February 26, 2014

Anak derhaka terima balasan


  • Anak derhaka terima balasanTertuduh (tengah) dikawal polis keluar dari mahkamah selepas hukuman diputuskan, semalam.

KOTA BHARU - Perlakuan biadab seorang anak yang membaling botol kaca dan memanggil bapanya dengan nama, akhirnya terbalas apabila dihukum penjara dua tahun oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.

Hukuman diputuskan, Majistret, Nik Habri Muhamad terhadap Muhamad Sabri Cik Mat, 29, selepas tertuduh mengaku bersalah mendatangkan cedera pada muka dan kaki Cik Mat Zakaria, 74, di Kampung Lanchang, Ketereh, di sini, pada jam 6 petang, 20 Februari lalu.

Dua beranak tersebut sebelum itu berselisih faham apabila tertuduh meminta rokok daripada mangsa tetapi warga emas terbabit mengungkit mengenai hutang tertuduh.

Akibat tidak tahan dengan bebelan tersebut, tertuduh yang berada di luar rumah, mengambil botol sos kosong lalu membaling ke arah mangsa.

Mangsa yang berada berhampiran pintu sempat menutup pintu gril, namun botol tersebut kena pada besi pintu menyebabkan pecah dan serpihannya mengenai mangsa hingga luka.

Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku bergaduh dengan bapanya tetapi menafikan berpunca daripada rokok, sebaliknya memberitahu mahkamah bapanya marah selepas dia memanggil warga emas itu dengan panggilan ‘Cik Mat’.

“Saya sendiri juga berang selepas dia enggan dengar masalah saya yang ada mendengar bisikan syaitan dan iblis di telinga, selain dia lebih dahulu menampar saya,” katanya.
Nik Habri bagaimanapun tidak bersetuju dengan tertuduh dan menegaskan, apa sahaja asalan diberikan, tertuduh tidak patut memukul bapanya.

“Kalau ayah pukul anak, biasalah tu, yang tidak normal apabila anak pukul ayah,” katanya sebelum mengarahkan hukuman penjara tersebut berkuat kuasa daripada tarikh tertuduh ditahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: