Thursday, January 30, 2014

Zizan paling banyak dapat pencalonan

ZIZAN RAZAK


ANUGERAH MeleTOP Era yang akan berlangsung pada 8 Februari depan menyaksikan pelawak Zizan Razak mendominasi pencalonan iaitu enam kategori menerusi Grup Duo MeleTOP, Bintang Filem MeleTOP, Bintang TV MeleTOP, Bintang Siber MeleTOP, Fesyen MeleTOP dan Lagu MeleTOP.
Dalam satu majlis yang berlangsung di Zouk Club, Kuala Lumpur baru-baru ini, Astro turut mengumumkan senarai nama Top 5 bagi 17 kategori yang dipertandingkan dalam anugerah yang buat julung-julung kalinya diadakan itu.
Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, penganjuran anugerah tersebut bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada bakat kreatif selebriti yang banyak memberikan sumbangan dalam industri hiburan seni tanah air.
“Sebagai sebuah anugerah pilihan penonton, kami memberikan kuasa kepada para peminat untuk menentukan artis pilihan masing-masing sebelum ini bagi memilih senarai calon lima terbaik yang akan disenarai pendek.
“Selepas undian tersebut, peminat sekali lagi diberikan kuasa untuk mengundi bagi menentukan pemenang setiap kategori yang dipertandingkan,” ujarnya dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Khairul, menerusi pengundian fasa kedua yang sudah bermula sejak 16 Januari lalu dan berakhir pada 8 Februari depan, para peminat boleh mengundi selebriti pilihan mereka menerusi tiga langkah iaitu secara dalam talian menerusi laman web rasmi, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi WeChat.
Selain Zizan yang mendapat pencalonan terbanyak, seorang lagi artis mengekori rapat ialah penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza apabila tercalon bagi empat kategori iaitu Lagu MeleTOP, Penyanyi MeleTOP, Grup Duo MeleTOP dan Bintang Siber MeleTOP.
Lain-lain artis yang turut menjadi pilihan peminat untuk tercalon dalam setiap kategori yang dipertandingkan seperti Stacy AF6, Najwa Latiff, Hafiz AF7, Aaron Aziz dan Emma Maembong.
MAJLIS Anugerah Meletop dianjurkan buat kali pertama pada tahun ini.


Dalam majlis sama, Khairul mengumumkan bahawa para pemenang bagi setiap kategori bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta trofi sumbangan Astro, kecuali pemenang kategori Anugerah WeChat MeleTOP yang akan menerima wang tunai RM15,000.
“Walaupun kami sekadar memberikan hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 kepada para pemenang tetapi jumlah berkenaan dilihat agak setara dengan anugerah-anugerah hiburan lain yang dianjurkan di negara ini,” jelasnya.
Sementara itu, Pengurus Radio Era FM, Nazri Noran berkata, Anugerah MeleTOP Era sememangnya menampilkan kelainan berbanding dengan beberapa anugerah lain berdasarkan kategori yang dipertandingkan.
“Setakat ini, para pendengar Era telah memberikan maklum balas positif terhadap penganjuran anugerah ini berdasarkan jumlah undian yang diterima oleh setiap selebriti yang tercalon dalam kategori masing-masing,” ujarnya.
Tidak sangka
Bagi pelakon yang popular dengan filem Kongsi, Fizo Omar mengakui, dia tidak menyangka sama sekali apabila menjadi pilihan peminat untuk tercalon dalam kategori Couple MeleTOP bersama isterinya, Mawar Abdul Karim.
Ujarnya, berdasarkan pencalonan yang diterima untuk kategori berkenaan, dia perlu berhadapan dengan beberapa pasangan lain seperti Aeril Zafrel dan Wawa Zainal, Diana Amir dan Habib, Izzue Islam dan Awin serta Nabil dan Nazirah.
“Sudah tentu saya dan isteri agak terkejut apabila kami turut tercalon, namun berterima kasih kepada para peminat yang telah memberikan undian.
“Bagi saya, pemilihan yang dibuat oleh para peminat ini berdasarkan liputan meluas yang diberikan tentang perkahwinan saya dan Mawar pada tahun lalu,” ujarnya.
Anugerah MeleTOP Era akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104), Maya HD (135), Astro Hitz (705), aplikasi Astro On-The-Gi dan laman YouTube Astro Gempak serta dihoskan oleh Datuk AC Mizal, Nabil Ahmad dan Neelofa.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: