Wednesday, January 29, 2014

Yana nafi tunggu lamaran Fadzil

YANA menafikan yang David Teo menghalangnya daripada berkahwin.


SEJAK berkecimpung dalam bidang seni sejak tahun 2008, pelakon Yana Samsudin jarang disentuh dengan cerita-cerita yang berkaitan dengan kisah peribadinya.
Cuma sejak kebelakangan ini terdapat pelbagai cerita yang timbul membabitkan dirinya, terutamanya dikaitkan dengan Fadzil Zahari yang juga merupakan adik Farid Kamil, selain dikatakan bertunang dengan anak tokoh korporat serta dituduh pula membuat pembedahan hidung.
Terbaharu, timbul pula cerita yang mengatakan bahawa kini pelakon yang mula dikenali menerusi filem Adnan Sempit itu mengeluarkan kenyataan dia sedang menunggu lamaran perkahwinan daripada Fadzil ketika ditemu bual oleh wartawan semasa majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Metrowealth (MIG) yang berlangsung di N’Dah Catering & Services, Shah Alam, Selangor minggu lalu.
Bagaimanapun, Yana yang dihubungi Kosmo! baru-baru ini menafikan sekeras-kerasnya ada menyatakan perkara sedemikian seperti yang telah dilaporkan oleh sebuah laman portal hiburan sebelum ini.
Kosmo!: Adakah benar Yana ada memberitahu kepada wartawan sebuah laman portal bahawa Yana ketika ini sedang menunggu lamaran Fadzil, lantaran kalian pernah digosipkan bercinta sebelum ini?
YANA: Dalam temu bual yang berlangsung itu, saya cuma cakap tidak pasti bila akan berkahwin, meskipun sudah bersedia ke arah itu pada tahun ini. Sebagai seorang perempuan, saya cuma menunggu lamaran, tidak pula menyatakan lamaran daripada Fadzil.
Seboleh-bolehnya saya tidak mahu orang ramai, terutamanya peminat melihat saya ini pula yang terhegeh-hegeh, malah saya turut ditegur oleh bapa apabila cerita sebegitu dipaparkan.
Apakah status hubungan Yana dengan Fadzil sekarang ini?
Apa yang boleh saya katakan tentang hubungan kami adalah masih lagi berkawan seperti dahulu dan tiada sebarang perubahan. Lagipun, kami sudah lama berkenalan iaitu sejak saya mula-mula berkecimpung dalam bidang seni dahulu.
INILAH wajah Fadzil yang digosip sedang bercinta dengan Yana.


Pada usia yang sudah mencecah 29 tahun sekarang, adakah syarat yang ditetapkan oleh syarikat pengurusan MIG menyebabkan anda tidak berkahwin sehingga kini?
Sebenarnya itu bukanlah menjadi penyebab utama saya masih lagi solo. Saya akui sudah bersedia menamatkan zaman bujang, namun belum berjumpa jodoh yang sesuai lagi.
Pihak MIG, terutamanya David Teo memang tidak pernah menghalang saya untuk mendirikan rumah tangga, malah beliau sentiasa mendoakan agar saya cepat bertemu jodoh.
Berkenaan tentang isu yang timbul apabila Yana dikatakan membuat pembedahan plastik pula, boleh jelaskan tentang perkara yang sebenar?
Perubahan yang berlaku terhadap diri saya itu berpunca apabila saya membuat rawatan meratakan gigi. Selain itu, berat badan saya juga mengalami penurunan sebaik sahaja saya menyertai program Fear Factor Selebriti Malaysia pada tahun lalu. Kalau boleh, saya tidak mahu perkara ini terus berpanjangan dan sudah beberapa kali membuat kenyataan yang sama sebelum ini.
Apakah komen Yana yang dikatakan lari daripada pihak media apabila isu ini timbul?
Saya tidak lari daripada pihak media apabila isu ini timbul tetapi ia adalah kerana jadual lakonan yang sangat padat. Selain itu, saya juga pulang ke kampung halaman di Yong Peng, Johor untuk melihat keadaan nenek saya yang kurang sihat.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: