• JohanJohan

MAHKAMAH Tinggi di sini hari ini menetapkan 28 April untuk perbicaraan taksiran ganti rugi dalam kes saman Johan Raja Lawak dan isterinya terhadap seorang pengarah dan syarikat penerbitan.
  
Hakim Datuk Su Geok Yiam menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam Suhaimi Saad yang mewakili Johan atau Mohammad Yazid Lim Mohamad Aziz dan peguam Baljit Singh bagi pihak Mohd Javed Mohd Nizar serta syarikat penerbitan Juara Filem Production Sdn Bhd.
  
Pada 7 Januari lalu mahkamah membenarkan tuntutan saman Johan dan isterinya Rozlinawaty Ismail.
  
Mereka memfailkan saman itu pada 18 Julai 2010 terhadap kedua-dua defendan dengan mendakwa Mohd Javed telah mengasari dan membaling gelas kaca sehingga menyebabkan Johan mengalami kecederaan di dahi kirinya ketika mereka berjumpa di sebuah restoran di Sikamat, Seremban pada pada 11 Mei 2010.
  
Mereka menuntut RM1 juta sebagai ganti rugi.