Tuesday, January 21, 2014

Tak sempat joli wang RM19,000

  • Tak sempat joli wang RM19,000Anggota polis dan orang ramai berjaya menangkap peragut terbabit selepas lelaki itu menyembunyikan diri kira-kira empat jam dalam sebuah longkang besar di tengah bandar Mentakab.

MENTAKAB – Dua lelaki tidak sempat joli wang hasil ragut sebanyak  RM19,000 apabila mereka dikejar orang ramai dan salah seorang ditangkap polis petang, semalam.

Kejadian itu berlaku jam 2 petang semalam apabila dua lelaki  berumur lingkungan 20-an meragut dua wanita pekerja restoran makanan segera yang keluar dari kereta sebaik tiba di hadapan sebuah bank di Jalan Temerloh, di sini.

Dua pekerja yang membawa wang tunai hasil perniagaan itu terkejut apabila dihampiri salah seorang suspek yang bersenjatakan pisau meragut beg yang mengandungi wang tunai.

Peragut terbabit yang menunggang sebuah motosikal kemudian melarikan diri menuju ke Kampung Baru Mentakab tetapi beberapa orang awam yang melihat kejadian itu bertindak mengejar mereka.

Ketika itu salah seorang peragut terjatuh ke dalam longkang besar dan melarikan diri sejauh kira-kira 150 meter serta menyorok di situ hampir empat jam.

Polis kemudian berjaya mengesan kedudukan peragut terbabit dan dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta orang awam, peragut terbabit berjaya ditangkap pada jam 6.15 petang.

Seorang orang awam turut menemui semula beg mengandungi wang tunai RM19,000 yang dilarikan peragut terbabit.

Dua pekerja restoran makanan segera itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh mengesahkan kejadian dan tangkapan yang dibuat. Polis juga  sedang giat  mengesan seorang lagi penjenayah yang berjaya melarikan diri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: