Tuesday, January 28, 2014

Perjuangan Hafiz, Hyper Act, Awi Rafael dan Altimet



GEGAK-GEMPITA sorakan penonton saat pengacara mengumumkan lagu Bahagiamu Deritaku sebagai lagu terbaik Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL 28) sudah cukup untuk menggamatkan lagi suasana Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam kelmarin.
Lagu ciptaan LY dan Baiduri yang dilantunkan oleh Hafiz Suip, 24, itu bukan sahaja berjaya menewaskan 11 lagu yang turut bertanding.
Karya tersebut turut meraih beberapa kemenangan menerusi dua kategori lain iaitu Persembahan Terbaik dan Anugerah Juara Mobile kepada penyanyi yang berasal dari Kuching, Sarawak itu.
Ternyata, menerusi kemenangan keduanya dalam penganjuran AJL ini selepas menjuarai AJL 26 menerusi lagu Awan Nano, Hafiz mengaku, dia tidak pernah lari daripada dikejar rasa gemuruh dan gementar saat diumumkan juara walaupun telah acapkali disuakan dengan puluhan anugerah dan pengiktirafan.
"Sejujurnya, walaupun saya telah memenangi banyak pertandingan dan anugerah, rasa gementar dan gemuruh itu masih tidak lekang dalam diri saya.
"Mungkin rasa itu datang apabila ekspektasi peminat dan penonton mula menggunung saat saya memenangi anugerah demi anugerah.
"Bagaimanapun, saya ingin mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana diberi peluang untuk menunjukkan bakat yang saya miliki.
Hafiz ternyata sangat bersyukur dikurniakan para peminat yang tidak pernah berhenti mendukung kerjayanya sejak dia tamat mengikuti program pertandingan nyanyian Akademi Fantasia musim ketujuh.
Ujarnya: "Saya akan gunakan pemberian ini sebagai satu cabaran untuk memberikan yang lebih baik kepada para peminat pada masa akan datang."
Seorang peminat penyanyi itu mendapat tweet semula (retweet) oleh penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza yang berbunyi: "Hafiz is the male version of @CTNurhaliza11".
HAFIZ memonopoli AJL 28 dengan menang dua anugerah.


Mengulas mengenai tweet semula itu, Hafiz berkata, jauh lagi perjalanan karier yang harus ditempuhinya untuk selesa menerima gelaran 'Siti Nurhaliza versi lelaki'.
Katanya, kejayaan yang diraihnya kini tidak setanding dengan kejayaan-kejayaan yang pernah dirangkul oleh penyanyi nombor satu negara itu.
"Saya akui, apa yang ada pada saya hari ini belum setanding jika mahu disamakan dengan Datuk Siti Nurhaliza. Dia mengecapi kejayaan pertama di pentas AJL sejak berumur 18 tahun menerusi lagu Jerat Percintaan.
Jika dikira jumlah pencapaiannya, terlalu banyak yang perlu saya tempuhi sebelum boleh disamakan dengannya," ujar Hafiz yang ingin sekali mengikuti jejak langkah penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu.
Langkah mula
Hyper Act menerusi lagu Hanya Aku yang selesa di tangga kedua pula berkata, lagu ciptaan mereka dan lirik oleh Frozen itu dijadikan sebagai penanda aras buat kumpulan tersebut untuk terus melakar nama sebagai penggiat seni muzik tanah air.
Vokalis kumpulan tersebut, Ronnie atau nama sebenarnya, Shahron Hussein berkata, walaupun anugerah yang diterima dianggap sebagai kemuncak karier mereka, namun, ia turut bertindak sebagai satu permulaan bagi mengembangkan kerjaya nyanyian ke peringkat yang lebih tinggi lagi.
"Saya sungguh terharu kerana lagu Hanya Aku berjaya mendapat tempat bukan sahaja di hati para pendengar tetapi turut dipilih oleh juri profesional.
"Bagi kami, lagu ini mempunyai kekuatan yang tersendiri dan begitu diminati oleh pendengar di Malaysia.
"Justeru, untuk perancangan seterusnya, kami akan melancarkan sebuah lagu baharu berjudul Ku Ikat Setia.
"Konsep balada sedih (mellow) masih dikekalkan kerana itu merupakan signatur kumpulan kami," jelasnya optimis.
HYPER ACT kini menyerlah dengan lagu Hanya Aku.


Buka pintu hip hop
Sementara itu, menurut pemenang tempat ketiga, Awi Rafael dan Altimet, lagu Kalau Aku Kaya karya Omar K dan Audi Mok serta lirik oleh Altimet sendiri mampu menjadi sebuah pintu untuk banyak lagi lagu yang mengandungi irama hip hop untuk menerima pengiktirafan pada masa akan datang.
"Saya pernah berbincang dengan Joe Flizzow suatu ketika dahulu bahawa kami mahu membuka pintu kepada penggiat irama hip hop untuk dikenali kerana karya mereka.
"Pintunya sudah terbuka, jadi terpulang kepada penulis lirik dan lagu hip hop untuk melayakkan diri ke pentas yang berprestij ini," katanya yang menyifatkan AJL sebagai pentas pertempuran yang bukan calang-calang boleh disertai oleh penyanyi tanah air.
Bagi Awi pula, jika kolaborasi antara dua penyanyi itu serasi, maka paduan tersebut akan membuahkan hasil.
"Saya lihat diri saya sebagai penyanyi dan penulis lagu muda. Dalam lagu ini, saya memberikan nuansa baharu terhadap korus sehingga boleh melekat di minda pendengar.
"Jadi pada pendapat saya, jika gabungan antara dua penyanyi itu betul-betul unik dan strategi yang digunakan betul, maka insya-Allah ia akan diterima ramai," ujarnya.
Untuk kategori Vokal Terbaik, pemenang Malaysian Idol musim pertama, Jaclyn Victor berjaya merampas takhta yang dipegang oleh Hafiz setelah berjaya mempertahankan anugerah itu selama tiga tahun berturut-turut.
Kelas tersendiri
Penganjuran AJL 28 dilihat seimbang dari segi kekuatan produksi dan kelancaran sepanjang majlis tersebut berlangsung.
Sistem bunyi dan lampu diatur kemas manakala susunan muzik lagu-lagu yang dipertandingkan turut diberi nafas baharu.
Menariknya, ada sebilangan penyanyi yang menggunakan tema Game On! yang diketengahkan oleh pihak penganjur untuk disuntik ke dalam persembahan mereka.
Sebagai contoh, Stacy yang terkenal dengan kelincahannya menari di atas pentas menyuntik elemen zombi ke dalam lagunya Bosan.
ALTIMET (kanan) dan Awi Rafael teruja meraih tempat ketiga dengan lagu Aku Kaya.


Hazama menerusi lagu Penglipur Lara pula menjadikan permainan video era 80-an sebagai latar utama ketika mempersembahkan lagunya itu.
Selain itu, persembahan penutup yang dibarisi oleh Waris, Zaidi (One Nation Emcees), Ziana Zain, Filsuf, Datuk M. Daud Kilau dan Amy Search turut mendapat sambutan yang hebat daripada para penonton.
Bagaimanapun, ketika pentas AJL dibuka menerusi persembahan konsep perlawanan vokal oleh Shila Amzah dan Mus May, lagu yang dibawa iaitu Mahakarya Cinta nyanyian asal Faizal Tahir seperti tidak selari dengan kekuatan vokal dua penyanyi itu.
Secara keseluruhan, penganjuran AJL 28 berada dalam kelasnya yang tersendiri.
Tipu jika tiada sebarang cacat mahupun cela sepanjang majlis berlangsung, namun, setelah 28 tahun dianjurkan, apa yang jelas kelihatan adalah peningkatan yang sangat memberangsangkan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: