• Ning perkenal produk wangian

ARTIS menceburi bidang perniagaan bukanlah perkara luar biasa lagi, malah jika di lihat rata-rata golongan anak seni kini tidak melepaskan peluang menggunakan kelebihan yang ada untuk sertai bidang ini.

Terbaru, penyanyi R&B, Ning Baizura tidak terkecuali mengikuti jejak langkah yang sama dengan memperkenalkan produk wangian keluarannya, 'Ning'.

Menurutnya, produk wangian tersebut dicipta berdasarkan kepada pesona selebriti yang memiliki sifat berani dan elegan.

"Bagi saya, wangian adalah aksesori penting buat seseorang selain ia juga melambangkan gaya hidup  dan keanggunan si pemakainya.

"Sebagai seorang penyanyi yang sentiasa mahu menghiburkan peminat, pemakaian wangian ini sedikit sebanyak mampu memberi semangat dan kegembiraan untuk saya lakukan sesuatu persembahan yang baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ning baru sahaja melancarkan album terbarunya, Kekal yang mengandungi tiga single baharu dan tiga lagu hitnya sebelum ini iaitu Curiga, Pasti dan Dugaanku.