• Kembang bakat lakonan..

SELEPAS single, Salam Semua, duet dengan Aaron Aziz menjadi siulan ramai, siapa sangka kumpulan Sleeq yang dianggotai Alyph dan Syarif dilamar untuk membintangi drama muzikal terbitan Excellant Pictures, yang berjudul, Sleeq & Friends.

Diarahkan oleh Khalid Nadzri dan turut dibintangi Puteri Chichi, Mimie Haris, Zack Cool, Naque, Qazem Nor, Arash Mohd dan Emma Akma, drama ini akan menemui penonton di saluran TVi (Astro 108), jam 9 Malam, bermula hari ini.

Menurut Syarif atau nama sebenarnya Ahmad Syarifullah berkata, drama muzikal 13 episod yang bersiaran selama 30 minit itu berkisarkan pahit manis dan jatuh bangun kumpulan mereka setelah lapan tahun dalam industri muzik sehinggalah bertapak dan mencipta nama di Malaysia hingga ke hari ini.

“Alhamdulillah, kami telah berjaya melakonkan pengalaman kami, namun, ia bukan sekadar cerita sebenar, tapi menyuntik elemen muzikal melalui drama ini.

“Apa pun, pengalaman berlakon mengajar kami dan mungkin kami boleh kembangkan lagi bakat lakonan yang ada. Kami akan sahut apa saja cabaran lakonan selepas ini,” kata penyanyi kelahiran Singapura ini.

Sementara itu, bagi Alyph atau nama sebenarnya Alif Abdullah pula mengakui, mereka berjaya melakonkan watak tersebut walaupun pada awalnya banyak melakukan kesalahan.

“Kami sangat gembira menerima tawaran ini walaupun pada awalnya agak perit sikit sebab terpaksa berlakon dalam bulan puasa. Tapi ia menjadi pengalaman bagi kami untuk meneruskannya. Ia merupakan satu penghargaan bagi kami,” katanya yang sehingga kini berpuas hati berada di bawah naungan Aaron Aziz Productions.

Sedia berentap di AJL28

Dalam pada itu, kumpulan Sleeq yang telah berjaya ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL28), menerusi lagu Sahabat duet bersama Najwa Latif dan Shamkamarul, mengakui sudah bersedia untuk berentap dengan finalis lain.

Kumpulan yang pernah popular dengan lagu, Sesaat Kau Datang, kolaborasi bersama Ramlah Ram ini turut menjanjikan kejutan pada malam AJL28 yang berlangsung malam Ahad ini nanti.

“Insya-ALLAH, tunggu saja mungkin ada atau mungkin kami juga yang akan dikejutkan pada malam itu nanti,” kata Alyph.

Menurut Sleeq mereka tidak akan melakukan perubahan pada penyusunan muzik dan akan melakukan persembahan yang bakal memukau penonton dan peminat mereka.

Dalam perkembangan lain, Sleeq juga bakal tampil dengan album kompilasi lagu terbaik mereka sebanyak lapan buah lagu dan termasuk sebuah single bersama Joe Flizzow berjudul Tepi Sikit.

Album yang bakal muncul pertengahan Februari itu mendapat kerjasama baik dengan komposer terkenal itu.

“Alhamdulillah kami dapat memberikan kerjasama baik dan Joe,” katanya yang bakal mempertaruhkan gubahan muzik yang mampu menambat hati pendengar.