Thursday, January 30, 2014

Himpunan kisah kacukan minoriti

IDENTITI golongan kacukan sering dikadikan isu memandangkan mereka mewakili dua kaum yang berbeza.


BENGKEL bercerita yang disertai Kevin Bathman, 39, dua tahun lalu di Sydney, Australia mencetuskan idea kepada lelaki itu mewujudkan projek The Chindian Diaries.
Dilancarkan secara rasmi pada tahun lalu, gerakan bersifat komuniti itu bertujuan menghimpunkan cerita dan pengalaman kelompok Chindian yang membesar dalam keluarga kacukan Cina dan India.
Pengarah seni pengiklanan yang berpangkalan di Sydney itu memberitahu, tujuan asalnya menganjurkan bengkel itu untuk menjejak salasilah keturunan keluarganya yang selama ini tidak diketahui secara terperinci.
Kevin, yang lahir daripada perkahwinan campur seorang lelaki Chindian dan wanita Cina merupakan generasi Chindian kedua dalam keluarganya. Datuk dan nenek daripada belah bapanya adalah ahli keluarga pertama yang berkahwin dengan kaum berbeza.
"Datuk saya orang India manakala nenek saya berketurunan Cina. Namun mendiang nenek memang terkenal dengan kepakaran masakan India sehingga dia diberi nama India iaitu Jeyah Ang," kongsi Kevin ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pengalaman zaman sekolah Kevin juga tidak banyak bezanya dengan kebanyakan Chindian di Malaysia. Ramai menganggap Kevin sebagai orang Serani iaitu kacukan orang Eropah dan Asia. Malah dia juga sering dilihat ganjil apabila memasuki kelas India gara-gara kulitnya yang lebih cerah.
Masalah sering berbangkit apabila dia perlu menanda ruangan kaum atau apabila guru memecahkan murid-murid mengikut kaum. Membesar dengan tidak mengetahui identiti sebenar diri banyak menjentik kesabaran Kevin.
Beri pencerahan
Dia tidak boleh memilih menjadi kaum lain-lain kerana Chindian bukanlah golongan minoriti yang diiktiraf seperti suku kaum lain. Sudahnya, dia diminta mengikut nasab bapanya iaitu orang India.
"Saya sendiri memang condong terhadap kebudayaan India dan lebih banyak mempraktikkan amalan Hindu," luah Kevin yang masih menyambut Tahun Baru Cina secara sederhana.

BAPA Kevin (empat dari kiri) adalah seorang Chindian yang berkahwin dengan ibu Kevin (lima dari kiri) yang merupakan seorang wanita Cina.


Antara objektif utama projek The Chindian Diaries yang dijalankan ialah bagi memberi pencerahan kepada masyarakat tentang gaya hidup komuniti Chindian.
Secara dasarnya, masih ramai rakyat Malaysia yang kurang memahami adat resam komuniti Chindian sehinggakan mereka dijadikan bahan jenaka. Begitupun, situasi tersebut mungkin semakin kurang dilihat pada masa kini berbanding dahulu.
Projek tersebut mencungkil pengalaman-pengalaman kelompok Chindian yang membesar dengan mempraktikkan dua budaya dalam sebuah keluarga.
"Malaysia sangat terstruktur dari sudut penyusunan kaum. Justeru, projek ini diharapkan mampu menjadi suara kepada golongan Chindian di negara ini bahawa kami juga sebahagian daripada warga Malaysia," tambah Kevin.
Gerakan awal projek tersebut dimulakan Kevin dengan meminta bantuan rakan-rakan rapat bagi mendapatkan beberapa orang Chindian. Kevin mempromosikan projek itu secara solo dengan menghantar e-mel atau menghubungi mereka menerusi laman sosial.
Perkembangan projek itu juga mengejutkan kerana sambutan yang diterima di luar jangkaan. Malah Kevin juga tidak menyangka Malaysia mempunyai jumlah Chindian yang agak ramai.
Menerusi laman Facebook rasmi The Chindian Diaries, setakat ini ia telah menerima hampir 3.500 likes dan 40 cerita yang dikongsikan golongan Chindian dari seluruh negara.
Mengakui bahawa projeknya tidak bertujuan mengaut sebarang keuntungan, Kevin menjadikan The Chindian Diaries sebagai platform jawapan kepada setiap kekeliruan yang dialami kebanyakan Chindian. Secara tidak langsung mereka tahu bagaimana menangani tekanan di masa akan datang.
"Saya juga menerima permohonan daripada orang kacukan lain seperti anak campuran Cina dan Melayu atau India dan Melayu. Buat masa ini, saya fokus kepada masyarakat di Asia sahaja," ujar Kevin yang pernah muncul dalam sebuah majalah di Sydney menceritakan tentang projek tersebut. Dilema yang dialami kebanyakan individu kacukan Cina dan India berkenaan identiti kaum turut dirasai oleh semua golongan berdarah campuran di seluruh dunia, terutama kumpulan minoriti.
Pengiktirafan
Pensyarah Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Selangor, Bukryman Sabri menjelaskan, perasaan terpinggir yang dialami sebahagian Chindian di negara ini adalah satu keadaan yang berlaku di kebanyakan negara.

KEVIN (kiri) lebih condong mengikut kebudayaan India yang dipengaruhi datuk daripada sebelah bapanya.


Di Malaysia, terdapat pelbagai kategori kacukan selain Chindian yang berdepan krisis identiti kaum. Bagi mengiktiraf satu-satu kaum baharu seperti Chindian, peratusan mereka daripada keseluruhan populasi rakyat Malaysia perlu diukur terlebih dulu.
"Secara peribadi, saya tidak tahu penetapan peratusan tersebut. Namun jika Malaysia bercadang menambah kaum baharu, mungkin golongan mamak atau India Muslim lebih sesuai untuk diangkat.
"Setakat ini, sesiapa yang berdarah kacukan perlu mengikut nasab bapa masing-masing," hurai Bukryman yang menambah bahawa Islam sendiri menganjurkan perkahwinan campuran bagi tujuan penyebaran agama.
Bagaimanapun, jelas Bukryman, praktik agama dalam sebuah keluarga Chindian juga bukan satu masalah. Meskipun ibu bapa mereka berbeza kepercayaan, tetapi mereka bebas memilih pegangan masing-masing apabila menginjak dewasa.
Kecelaruan kepercayaan mungkin berlaku pada peringkat kanak-kanak, namun seiring pendedahan dalam persekitaran lebih terbuka, mereka akan mudah mengadaptasi prinsip dwibudaya dan agama dalam kehidupan.
"Memang ada kebenaran bahawa anak-anak Chindian mempunyai mentaliti terbuka dan lebih bijak. Ia berpunca daripada perkahwinan ibu bapa itu sendiri yang terdiri daripada dua individu yang terbuka bagi membenarkan diri berkongsi hidup dengan budaya asing.
"Jadi proses ubah suai dan penyesuaian budaya itu berlaku secara berterusan sehingga kelahiran anak-anak," jelas Bukryman.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: