• Hikmah tolak watak miang

SEJAK muda berlakon sehinggalah sekarang, Datuk Aziz Singah tidak pernah mengambil watak sebagai lelaki miang dan penggoda kerana tidak sesuai dengan jiwanya.

Tawaran untuk melakonkan watak seperti itu ada namun, Aziz menolaknya dengan baik kerana ia bukan sahaja membabitkan imejnya tetapi mahu menjaga nama baik keluarga.

“Saya memilih watak tertentu saja kerana saya tak mahu mengganggu fikiran anak-anak saya apatah lagi mereka semua sudah dewasa sekarang. Saya lebih selesa membawa watak seorang bapa yang bertanggungjawab dan tokoh korporat.

“Pernah dulu, ada sekali dua saya cuba membawa watak lelaki penggoda tetapi karakter itu tak hidup kerana saya gagal menjiwainya. Saya rasa malu dengan diri sendiri.

“Pada pandangan saya, jika saya tonjolkan imej baik dalam drama lakonan saya, di luar pun itulah diri saya yang sebenarnya," katanya.

Aziz amat mensyukuri nikmat yang ALLAH SWT beri kepadanya dan keluarga. Pada usia 72 tahun dia diberikan kesihatan yang baik dan anak-anak berjaya dalam pelajaran. Malah hingga kini, khidmatnya dalam bidang lakonan masih diperlukan.

Selain drama 13 episod, terbitan Skop Productions berjudul Egoistik yang bakal ditayangkan di TV1, bermula Februari ini, Aziz juga membintangi Tahajud Terakhir arahan Yusof Wahab, untuk Astro Oasis.

“Saya tak boleh tinggalkan bidang lakonan terus kerana ia sebati dengan diri saya tetapi bukan setiap bulan saya ambil tawaran. Dalam setahun cukuplah kalau saya dapat berlakon dua atau tiga kali saja kerana saya pun ada komitmen lain,” katanya.

Aziz yang juga pesara Radio Televisyen Malaysia, kini banyak terbabit dalam bidang perniagaan sebagai ahli lembaga pengarah untuk syarikat komunikasi, pembinaan dan logistik.

“Alhamdulillah, mereka memberi kepercayaan kepada saya untuk bersama-sama memajukan syarikat dan terbaharu saya dilantik menjadi ikon Umrah untuk agensi pelancongan Al Mujib Travel & Tours Sdn Bhd yang beroperasi di Taman Datuk Demang, Seri Kembangan, Selangor.   

“Sebagai ikon Umrah saya akan bersama-sama dengan jemaah umrah kendalian Al Mujib untuk mengerjakan ibadah itu di Makkah. Rombongan pertama akan berangkat pada 13 Mac dan pulang ke tanah air pada 24 Mac.

“Syukur ke hadrat ALLAH SWT kerana Ketua Pegawai Operasi syarikat, Muhibbudin Ahmad dan Pengerusinya, Datuk Ahmad Kosnan (Pengerusi Syarikat) memberi peluang kepada saya untuk bersama-sama menaikkan nama syarikat.

“Kepada mereka yang berminat untuk menyertai rombongan umrah ini, mereka boleh membuat tempahan sebelum pertengahan Februari ini,” katanya.

Kepada yang berminat boleh layari www.almujibtravel.com.my atau emel kepada info@almujibtravel.com.my atau marketing@almujibtravle.com.my.

Aziz ditemui pada pelancaran pakej umrah itu di pejabat Al Mujib.

Hadir sama, Presiden Cuepac Emas, Datuk Omar Osman.