Wednesday, January 29, 2014

Formula muzikal Besan Tiga Segi


DRAMA bersiri 20 episod, Besan Tiga Segi turut disuntik dengan elemen lagu-lagu Hindustan.


JARANG dapat menonton drama rantaian di kaca televisyen sekarang yang menonjolkan elemen muzikal menyusuri perjalanan cerita sepanjang sejam setiap episod.
Formula itu diguna pakai semula oleh pengarah Shuhaimi Lua untuk drama bersiri 20 episod, Besan Tiga Segi yang disiarkan dalam slot Senda Pagi setiap Isnin dan Selasa pada pukul 10.30 pagi.
Kata Shuhaimi, elemen muzikal dengan menampilkan klip video pelakon- pelakon drama itu sendiri yang menari dan meniru pergerakan mulut penyanyi asal (miming) diselitkan setiap episod bersesuaian dengan jalan cerita.
Cara itu, kata Shuhaimi, untuk mengurangkan tekanan penonton yang mungkin menganggap drama terbitan Zeel Production Sdn. Bhd. itu sebuah garapan naskhah yang berat.
"Penonton akan dapat menyaksikan gelagat dan aksi melucukan pelakon yang menari dengan gaya ala Bolly- wood serta beberapa buah klip video parodi artis tempatan di lokasi menarik sekitar Perlis dan Kedah.
"Memandangkan saya juga penggemar filem Hindustan, saya percaya penonton kita juga peminat cerita Bollywood.
"Maka saya memilih untuk memasukkan banyak lagu Hindustan dari- pada filem-filem popular seperti Har Dil Jo Pyar Karega dan Kuch-Kuch Hota Hai," ujarnya yang ditemui di ibu pejabat Kosmo!, Kuala Lumpur baru- baru ini.
Selain itu, Shuhaimi menyelitkan parodi beberapa buah klip video popular antaranya Beribu Sesalan (Tiga Suara: Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah), Sandarkan Pada Kenangan (Sarah Raisudin & Jamal Abdillah) dan Pelamin Anganku Musnah (Azie).
"Memang tidak kering gusi melihat gelagat barisan pelakon yang bersungguh-sungguh menyanyi dan memakai busana penuh labuci persis penyanyi sebenar.

AKSi mencuit hati tiga pelakon veteran terkenal (dari kiri), Aznah Hamid, Khatijah Tan dan Kartina Aziz dalam Besan Tiga Segi.


"Saya mahu mesej positif disampaikan dalam suasana yang senang diserap oleh penonton. Paling mudah adalah menerusi elemen komedi kerana lebih santai dan tidak tegang," tambahnya.
Besan Tiga Segi memaparkan konflik antara mentua dan menantu yang mengundang ketidaksefahaman yang sering terjadi dalam masyarakat.
Mengisahkan Rafeah yang mempunyai empat orang anak yang terlalu cuba mengongkong kehidupan serta pilihan pasangan anak-anaknya.
Bagaimanapun, anak-anaknya cenderung memilih pasangan daripada keluarga yang tinggal berdekatan dengan keluarganya sehingga memaksa Rafeah berbesan dengan individu yang tidak disenanginya.
Konflik mula tercetus apabila ketiga-tiga besan mula bersaing dalam pelbagai hal sehingga membabitkan kehidupan anak-anak dan suami masing-masing.
Drama itu menjalani penggambaran di sekitar Kangar, Arau, Felda Laka Selatan (Perlis) dan Langkawi (Kedah).
"Kami sengaja memilih Perlis sebagai lokasi pilihan memandangkan negeri itu sesuai dengan latar bela- kang cerita dan memaparkan kehidu- pan masyarakat di sana.
"Paling ketara, dari segi pertuturan yang menyaksikan para pelakon menggunakan loghat utara yang pastinya menggamatkan," katanya.
Besan Tiga Segi dibintangi oleh Kartina Aziz, Aznah Hamid, Khatijah Tan serta pelakon-pelakon baharu seperti Ezzaty Abdullah, Balkisyh Semundur Khan, Zwan Zahar dan Ben Ali.
Bekerja bersama kebanyakan pelakon senior dalam drama itu, kata Shuhaimi, tidak banyak kerenah dan sangat menghiburkan, malah mereka lebih banyak berkongsi ilmu mengenai dunia lakonan.
"Alhamdulillah, sepanjang dua bulan penggambaran semua tenaga produksi memberikan kerjasama yang mantap dan drama ini sebenarnya siap lebih awal daripada jangkaan," jelasnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: