Monday, January 27, 2014

Berbakti kepada tanah


WAKIL daripada iM4U bekerjasama dengan Best Western Premier Dua Sentral Kuala Lumpur menanam sayur-sayuran di hotel itu.


BEST Western Premier Dua Sentral, Kuala Lumpur dan pertubuhan sukarelawan remaja, iM4U telah bekerjasama melaksanakan acara penanaman sayur-sayuran tempatan dan herba di kebun Best Western Premier Dua Sentral. Ia merupakan inisiatif untuk mewujudkan kesedaran kepentingan pengurangan karbon dalam kehidupan seharian.
iM4U merupakan sebuah badan bukan berkeuntungan yang membantu memupuk dan menanamkan semangat sukarelawan dalam kalangan belia di Malaysia. Melalui acara-acara yang mereka sertai, ia bertujuan untuk memupuk generasi sosial yang sanggup menghulurkan bantuan untuk aktiviti sukarelawan.
Selain itu, usaha tersebut juga merupakan satu latihan kepada pekerja-pekerja hotel tersebut untuk menanam sayur-sayuran tempatan di kediaman masing-masing.
Seluruh tenaga kerja hotel tersebut terlibat dalam acara itu. Dengan bantuan remaja iM4U, pekerja-pekerja diajar untuk menanam sayur-sayuran menggunakan teknik dan kaedah penjagaan yang betul.

STAF hotel Best Western Premier Dua Sentral berganding bahu menanam tanaman hidroponik di kawasan kebun hotel.


Antara sayur-sayuran yang ditanam sepanjang sesi selama dua hari itu ialah terung, cili, tomato, kacang panjang, timun dan pelbagai jenis herba.
Menurut Chef Eksekutif hotel berkenaan, Jaffery Othman, idea untuk mencipta dan membina kawasan kebun di hotel itu bermula sejak dua bulan lalu.
"Proses penghasilan kebun ini merupakan satu langkah yang menuntut pemikiran inovatif dalam kalangan tenaga pekerja hotel, iM4U banyak membantu kami sepanjang acara ini," katanya.
Tambahnya, dia bersama rakan-rakan dalam kumpulannya akan memantau perkembangan dan pertumbuhan sayur-sayuran dan herba sebanyak tiga kali sehari. Sayur-sayuran yang sudah matang akan dihidangkan dalam pelbagai jenis masakan di kantin staf.
Sementara itu, Pengarah Urusan Jenama Kumpulan hotel tersebut, Efny Johan memberitahu, acara itu yang julung-julung kali diadakan itu diharapkan dapat memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan semua peserta yang terlibat.
"Kami berharap, kerjasama ini akan berpanjangan sekali gus memberi manfaat kepada pihak hotel. Pihak kami amat gembira kerana iM4U sedia untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran mereka. Inisiatif ini akan dilaksanakan di hotel Best Western yang lain di Malaysia," jelasnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: