• Bakar rumah ayah, dijel 5 tahunTertuduh dikawal polis untuk dibawa ke penjara bagi menjalani hukuman.

KOTA BHARU - Perlakuan khianat seorang anak yang bertindak membakar rumah bapanya sendiri mengundang padah apabila dihukum penjara lima tahun oleh mahkamah sesyen di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus selepas tertuduh, Mohamad Faizie Mohd Noor, 24, mengaku bersalah.

Dia didakwa pada tuduhan pindaan berbuat khianat dengan api hingga menyebabkan kebakaran dengan niat merosakkan dan membinasakan rumah Mohd Noor Abdul Rahman, 53, di Jalan Kuala Krai, Kampung Wakaf Che Yeh di sini, pada jam 7 malam, 7 Julai, tahun lalu.

Sebelum kejadian, Mohd Noor keluar untuk berjumpa kawannya dan meninggalkan dua anak perempuan serta tertuduh di rumah itu.

Ketika sedang menonton televisyen, anak perempuannya yang berusia 16 tahun ternampak kepulan asap dan cahaya keluar dari bawah pintu bilik tertuduh. Tertuduh juga berada di dalam bilik tersebut.

Tidak lama selepas itu, tertuduh keluar dari bilik dalam keadaan muka dan badan yang kehitaman. Anak perempuan pengadu yang nampak tilam di dalam bilik tersebut terbakar kemudian mengambil adiknya dan pergi ke rumah jiran untuk mendapatkan bantuan.

Dia kemudian menghubungi bapanya sebelum pengadu menghubungi pihak polis. Tertuduh ditahan dalam keadaan memegang sebilah parang di bahagian dapur rumah.

Siasatan Jabatan bomba mendapati punca disebabkan tertuduh sengaja membakarnya dengan menggunakan mancis atau pemetik api. Selain bilik tidur, ruang tamu juga dibakar.

Pada prosiding semalam, tertuduh lebih banyak mendiamkan diri dan hanya memohon hukumannya diringankan.

Keputusan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Salam Yusof.