Thursday, December 26, 2013

Ludia penjahit pakaian Bidayuh

SEBAHAGIAN daripada pakaian tradisional masyarakat Bidayuh yang sudah siap dijahit yang dijual di Pekan Bau, Sarawak.


DI satu sudut sebuah kedai kayu kecil yang menjual pakaian terpakai di Pekan Bau, kira-kira 40 kilometer dari bandar raya Kuching, Sarawak kelihatan seorang wanita berkulit cerah dengan ketinggian sederhana sibuk menjahit.
Bunyi mesin jahit jelas kedengaran dari kedainya yang menjual pakaian tradisi masyarakat Bidayuh itu. Ludia Apoi, wanita Kenyah yang berasal dari Long Banga, Baram mencari rezeki dengan mengambil tempahan menjahit pakaian tradisional Bidayuh.
"Saya sebenarnya bukan berketurunan Bidayuh, tetapi Kenyah iaitu antara etnik yang termasuk dalam kelompok Orang Ulu di Sarawak, " katanya memulakan perbualan.
Wanita yang meminati ilmu jahitan itu hanya berpeluang mendalami kemahiran tersebut selepas menyertai kursus jahitan yang diadakan di Dewan Suarah Bau tiga tahun lalu.
Sumber pendapatan
Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, kursus selama enam bulan itu ternyata memberinya kemahiran menjahit yang cukup baik. Selepas tamat kursus beliau tekad menjadikan jahitan sebagai sumber pendapatannya.
Memulakan perniagaannya di kediaman di Kampung Belimbing, Ludia menerima tempahan menjahit pakaian tradisional Bidayuh, baju kurung dan baju kebaya daripada penduduk sekitar.
Suaminya Libek Jonny, 48, seorang guru berketurunan Bidayuh memberitahu, kemahiran Ludia agak mengagumkan kerana isterinya bukan berketurunan Bidayuh.
Libek sentiasa memberi sokongan terhadap minat isterinya itu dengan membantu membeli barang-barang seperti kain, manik dan benang untuk menghasilkan pakaian tradisional itu.
Sejak kecil, anak perempuan tunggal Ludia, Mariam Urai, 18, diajar menjahit pakaian tradisional.
Mariam juga mahir membuat aksesori seperti rantai manik yang dipakai untuk melengkapi pakaian tradisional Bidayuh.
Pakaian tradisi wanita Bidayuh terdiri daripada baju berlengan pendek atau separuh lengan, kain sarung paras lutut dan tudung kecil atau penutup kepala.
Pakaian lelaki Bidayuh pula terdiri daripada baju hitam separa lengan atau berlengan pendek, kain lilit kepala dan seluar atau cawat.
LUDIA mendapat sokongan suami dalam mengusahakan perniagaannya.


Apakah yang menyebabkan Ludia memilih pakaian tradisional Bidayuh berbanding pakaian tradisi Orang Ulu?
"Masa yang lebih panjang diperlukan untuk menghasilkan pakaian tradisional Orang Ulu berbanding pakaian tradisional Bidayuh, selain itu saya tinggal di kawasan majoriti masyarakat Bidayuh yang menyebabkan pasaran pakaian Orang Ulu sangat terhad," katanya yang mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 18 pasang pakaian dalam masa sebulan.
Masyarakat Bidayuh mendiami sekitar Kuching, Bau, Padawan dan Serian, Sarawak masing-masing mempunyai baju tradisional yang berbeza antara satu dengan lain terutama daripada segi warna.
"Walaupun ketika ini saya menghasilkan baju tradisional masyarakat Bidayuh di Bau, pada masa yang sama saya juga mengambil tempahan dari kawasan lain. Yang penting mereka sertakan contoh pakaian," katanya sambil tersenyum.
Rantai manik
Selain baju, kain, topi dan selendang, Ludia turut menghasilkan aksesori tambahan seperti rantai manik untuk melengkapkan persalinan tradisional.
Selain Ludia, terdapat beberapa penjahit pakaian tradisional Bidayuh di sekitar Bau tetapi mereka tidak menghasilkan persalinan lengkap.
Sesuai dengan perkembangan telnologi masa kini dan bagi mengembangkan perniagaannya, Ludia menggunakan laman sosial Facebook Ludia Craft Collections.
Sejak menggunakan laman sosial enam bulan lalu, Ludia menerima banyak tempahan di sekitar Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Permintaan yang tinggi secara talian dan langsung menyebabkan adakalanya Ludia tidak menang tangan.
Dia juga merancang untuk membesarkan perniagaannya seperti menambah bilangan mesin jahit dan menggaji lebih ramai pekerja.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: