• Lebih 15,000 rai perkahwinan Fizo, MawarFizo dan Mawar gembira kerana majlis kesyukuran sempena perkahwinan mereka berjalan lancar. 

HASRAT pelakon, Fizo Omar meraikan rakyat Kelantan yang menyokong perjuangannya dalam bidang seni tercapai selepas majlis kesyukuran sempena perkahwinannya berjalan lancar di kediamannya di Taman Sri Jawa, Selising, dekat Kelantan, hari ini.

Fizo atau nama sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar, 28, bersyukur kerana majlis itu dihadiri kira-kira 15,000 tetamu sejurus rombongan keluarga isterinya, Mawar Abdul Rahman, 24, tiba dengan diiringi konvoi motosikal berkuasa tinggi.

Pasangan pengantin yang berpakaian merah jambu ceria dan tidak jemu melayan tetamu serta peminat sepanjang majlis bertemakan seri taman berlangsung.

Fizo berkata, kenduri yang diadakan khusus bagi meraikan warga Kelantan itu sebagai menghargai sokongan dan dorongan diberikan sehingga dia berjaya dalam dunia lakonan serta perniagaan.

“Alhamdulillah, saya gembira kerana hasrat meraikan orang ramai di tanah kelahiran saya tercapai. Saya berterima kasih kepada semua tetamu yang meluangkan masa ke majlis ini termasuk tetamu kehormat.

“Ini tanda terima kasih saya kepada mereka yang selama ini menyokong saya dalam bidang lakonan dan juga menyokong penglibatan saya serta Mawar dalam dunia perniagaan," katanya.