• Laki Laki

TREND pemilihan pelakon-pelakon terkenal dalam pembikinan filem atau drama bukanlah satu perkara baharu yang berlaku dalam industri seni di Malaysia.

Bahkan kebanyakan filem dari negara luar juga banyak mempertaruhkan muka pelakon terkenal atau pelakon kelas A.

Namun berbeza pula dengan filem arahan Ollyn Khadri, pengarah muda ini hanya meletakkan Angah Raja Lawak sahaja selaku individu popular atau dikenali, manakala pelakon lain adalah muka-muka baharu atau artis yang kurang dikenali.

Lebih mencabar, Laki Laki juga menyaksikan Ollyn mempertaruhkan satu gender sahaja sebagai pelakon utama iaitu Mie Raja Lawak, Adey Syafrien, Zul Suphian, Azrel Ismail dan Angah.

Bagaimanapun Ollyn Khadri tidak menganggap perkara itu sebagai satu masalah dan percaya filem ketiga arahannya ini masih mampu menarik penonton ke pawagam.

“Ketika awal pembikinan filem Laki Laki saya agak risau dengan konsep satu gender ini. Tetapi menerusi beberapa kajian dan rujukan dari beberapa buah filem termasuk The Beach, saya yakin untuk menggarap sebuah cerita dengan cara dan pendekatan saya sendiri.

“Bagaimanapun saya tidak meniru filem tersebut dan hanya mendapatkan inspirasi dari jalan ceritanya sahaja. Bagi saya filem ini tetap mempunyai kekuatan tersendiri,” katanya pada majlis pratonton filem berkenaan.

Laki-Laki mengisahkan lima orang yang terperangkap di sebuah pulau terpencil. Razak yang masih tinggal bersama ibunya merupakan seorang kartunis, tetapi syarikatnya muflis dan menyebabkannya kehilangan pekerjaan.

Abu seorang chef yang hebat, tetapi kehilangan kekasih dan perniagaannya kepada seorang yang dikatakan teman rapat.

Azman pula adalah seorang pemain bola terkenal, tetapi disingkir kerana tidak berdisiplin. Manakala Samad adalah seorang pengarah filem yang berlagak dan filem yang diarahnya sentiasa gagal.

Jerry, seorang penyanyi yang meninggalkan kumpulannya untuk bergerak solo, tetapi akhirnya menyedari dia tidak mampu berbuat demikian.

Kelima-lima mereka membuat keputusan  menyertai satu kem motivasi, tetapi selepas satu insiden berlaku mereka terperangkap di pulau terpencil itu.


Komedi mencuit hati

Meletakkan Angah sebagai salah satu pelakonnya menjadikan Laki Laki sebuah filem yang ‘gila-gila’.

Ini kerana, sejak awal lagi, plot penceritaan filem ini sentiasa tampil dengan unsur-unsur komedi yang menggelikan hati.

Apatah lagi dengan kepala gila-gila Angah, di tambah pula dengan lakonan bersahaja dari Zul dan Mie membuatkan penonton tidak akan kering gusi dengan babak lucu yang terjadi sepanjang mereka berada di pulau tersebut.

Cuma hanya pada permulaan cerita; iaitu pada pengenalan setiap watak sahaja membuatkan cerita ini agak bosan, namun sebaik mereka beradi di pulau tersebut, penonton akan mula ketawa dengan keletah yang disampaikan setiap pelakon.


Mesej tersirat

Bagaimanapun, anda barangkali boleh ketepikan atau maafkan insiden yang terjadi kepada mereka sebelum tersadai di pulau tersebut.

Biarpun tidak logik, namun paling penting sekali adalah mesej yang disampaikan Ollyn kepada penonton, yang perlu diambil perhatian.

Ia bukan sahaja meliputi sikap sesetengah individu, bahkan masyarakat hari ini yang tidak lagi bersatu padu seperti dahulu.

Walhal sebenarnya sebagai masyarakat yang tinggal bersama di bawah satu negara, kita perlulah saling bekerjasama, hormat menghormati dan bertoleransi antara satu sama lain.

Justeru bagi anda yang mencari sebuah naskhah komedi, yang boleh membantu anda meredakan tekanan, atau bagi anda yang mencari filem ringan untuk ditonton pada hujung minggu, anda boleh menonton Laki Laki.

Jadi bagi mengetahui kesudahan nasib mereka di pulau terbabit, jangan lupa untuk menyaksikan filem ini di pawagam.