• Walking With Dinosaurs

FILEM  yang mengangkat tema kehidupan dunia dinosaur sememangnya sudah banyak di buat oleh pembikin filem Hollywood.

Bukan sahaja di dalam filem, kisah kehidupan dinosaur juga pernah dijadikan dokumentari dan pameran biarpun dinosaur dikatakan hidup 220 juta tahun yang lampau.

Apatah lagi, peluang  mengenali dan mempelajari corak kehidupan haiwan besar yang pernah mendominasi bumi suatu masa dulu sentiasa menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan.

Oleh kerana itu, Neil Nightingale dan Barry Cook tidak melepaskan peluang untuk mengarahkan sebuah filem dokumentari animasi yang memaparkan karakter 3-Dimensi (3D) dinosaur yang masih hidup dengan berlatar belakang kehidupan realistik.

Filem ini membawa penonton ke dunia prasejarah semasa 70 juta tahun dahulu. Ia digarapkan semula berdasarkan dokumentari 1999 siri televisyen “Walking With Dinosaurs” yang diterbitkan BBC.

Ia berkisarkan perjalanan kehidupan tiga Pachyrhinosaurus bernama Patchi, Scowler dan Juniper iaitu haiwan pemakan tumbuh-tumbuhan yang mengikuti ayah mereka, dan akhirnya berpecah belah kerana pertikaian kehidupan.

Jika sebelum ini, filem seperti Jurassic Park memaparkan kehidupan kumpulan dinosaur yang menjadi ganas kerana kelaparan, kali ini, Walking With Dinasours pula memaparkan kehidupan haiwan purba itu.

Pendek kata, ia membawa penonton mengembara ke dalam dunia dinosaur dan mendekati setiap jenis dinosaur yang diketahui.


Bagai realiti

Apatah lagi, apabila ditonton dalam format 3-Dimensi (3D), penonton akan berpeluang melihat secara lebih realiti.

Ada ketikanya, kaki pasti akan terangkat apabila melihat spesies yang lebih kejam membunuh demi kelangsungan hidup.

Begitu juga melihat spesies yang berterbangan, terbang seolah-olah ke arah penonton, akan menambahkan lagi keterujaan, terutamanya bagi kanak-kanak.

Ia secara tidak langsung menjadikan filem ini, sebagai salah satu medium untuk kanak-kanak mengenali spesies yang telah lenyap dari muka bumi.


Plot perlahan

Bagaimanapun, kelemahan filem ini menjadi Walking With Dinasour sebuah filem yang kurang rencah dek garapan yang kurang kemas.

Sama ada kekurangan bahan, atau tidak mahu lari dari cerita dokumentari sebenar membuatkan ada ketikanya plot bergerak terlalu perlahan.

Bahkan, tiada kejutan menarik yang berlaku di dalam filem ini, selain dari paparan jalan cerita kekeluargaan yang sudah banyak ditonton sebelum ini.

Ia secara tidak langsung membuatkan penonton sudah dapat mengagak apa yang berlaku selepas ini dan apa pengakhiran filem ini.

Bagaimanapun, bagi anda yang mencari filem yang sesuai di tonton seisi keluarga, masih berbaloi untuk menonton filem ini di pawagam, terutamanya bagi mereka yang membawa anak-anak yang sudah bersekolah.

Jadi bagi mengetahui kesudahan hidup dua beradik ini bersama bapa mereka, jangan lupa menyaksikan Walking With Dinasours di pawagam.