Sunday, December 29, 2013

Irama Pop Yeh Yeh kembali di Istana Budaya


PENYANYI veteran, dari kiri Jeffrydin, L. Ramli, Juhari, A. Rahman dan A. Halim pada majlis sidang akhbar Konsert Orkestra Tradisional Malaysia di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.


BIARPUN irama Pop Yeh Yeh popular sekitar era 1960-an, namun masih banyak lagunya yang masih diminati hingga kini.
Memandangkan irama tersebut mempunyai peminat yang tersendiri, pihak Istana Budaya bakal menganjurkan persembahan lagu-lagu Pop Yeh Yeh buat kali keempat menerusi Konsert Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Bersama Bintang selama tiga hari bermula 24 Januari depan.
Menariknya, acara tersebut menampilkan nama-nama besar seperti Datuk A. Rahman Hassan, Datuk Jeffrydin, L. Ramli dan A. Halim.
Pengarah konsert, Lokman Ghani sewaktu ditemui pada majlis pelancaran yang berlangsung di Istana Budaya baru-baru ini berkata, konsert itu cukup istimewa dengan kemunculan penyanyi yang pernah diminati ramai suatu ketika dahulu.
"Konsert kali ini agak istimewa kerana persembahan penyanyi akan diiringi oleh OTM serta terdapat beberapa kelainan.
"Setiap persembahan akan diselitkan dengan penceritaan berkaitan irama ini oleh narrator (tukang cerita) dan maklumat itu mungkin berguna kepada penonton," ujarnya yang menjadi pengarah Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh di Istana Budaya tahun lalu.
Menurut Lokman, setiap penyanyi akan mempersembahkan sekurang-kurangnya enam atau tujuh buah lagu yang merangkumi lagu asal penyanyi berkenaan serta lagu popular sekitar 1960-an yang dinyanyikan penyanyi lain.
Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, selain pembabitan keempat-empat legenda tersebut, pihaknya juga cuba mengundang seorang lagi penyanyi yang akan menjayakan konsert berkenaan.

PERSEMBAHAN khas daripada L. Ramli memeriahkan suasana.


Ujarnya, nama penyanyi tersebut tidak diumumkan kerana belum ada persetujuan dibuat, tetapi mendedahkan bahawa dia penyanyi wanita dari Singapura.
"Sekarang kami masih berusaha untuk memujuk dan mendapatkan persetujuan penyanyi tersebut. Sekiranya dia tidak bersetuju, mungkin kami terpaksa menggantikannya dengan penyanyi lain," ujarnya.
Jelasnya, dengan gabungan persembahan irama Pop Yeh Yeh dan OTM buat julung kalinya itu pasti akan memberikan pengalaman baharu kepada penonton konsert itu nanti.
Terharu
Salah seorang penyanyi, A. Halim yang sekali lagi menjadi pilihan untuk beraksi di pentas Istana Budaya berkata, dia sangat terharu kerana masih diundang untuk membuat persembahan.
A. Halim atau nama sebenarnya, Abdul Halim Mohammad Diah, pernah tampil di pentas Istana Budaya tahun lalu. Dia menjangka itulah yang terakhir dia beraksi di situ.
"Apabila dihubungi oleh pihak Istana Budaya dan diberitahu tentang konsert ini, hampir mengalir air mata saya kerana tidak menyangka akan dapat beraksi sekali lagi di Istana Budaya.
"Dengan peluang yang diperoleh ini, pastinya saya bersama penyanyi lain akan cuba tampil dengan persembahan yang terbaik demi peminat yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan," ujarnya.
Tiket-tiket semurah RM30 hingga RM250 sudah mula dijual dan boleh ditempah dengan menghubungi talian 03-8775 4666 atau 03-4026 5520.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: