Friday, December 20, 2013

Iqram akui rapat dengan Wincci

GIMIK atau benar? Aksi Soo Wincci dan Iqram pada majlis pelancaran album bahasa Melayu sulung Wincci di Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KETIKA sedang asyik mendengar ucapan daripada penyanyi, Soo Wincci sempena pelancaran album bahasa Melayu sulungnya, Su Win Si by Soo Wincci di Embassy Row Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini, kelibat pelakon popular, Iqram Dinzly dengan tidak semena-mena muncul daripada belakang pentas.
Iqram, 32, yang hadir dengan sejambak bunga tiba-tiba bertindak melutut di hadapan penyanyi putih melepak itu sambil menghulurkan sebentuk cincin kepadanya.
“Selagi awak tidak menerima cincin ini, saya tidak akan bangun,” getus Iqram sambil diperhatikan oleh Wincci, yang ternyata kaget dengan tindakannya itu.
“Sudikah awak menjadi teman baik saya sehingga ke akhir hayat?” tanya Iqram yang akhirnya meleraikan situasi ‘tegang’ pada petang itu. Wincci akhirnya ketawa dan mengiyakan soalan Iqram lalu menerima cincin tersebut.
Gimik yang dilakukan oleh Iqram ternyata menjadi. Aktor yang pernah dikenali sebagai pengacara program Jalan-Jalan Cari Makan itu berkongsi dengan Kosmo! mengapa dia bertindak sedemikian.
Kosmo!: Mengapakah anda melakukan gimik sebegini pada majlis pelancaran album Soo Wincci?
IQRAM: Sudah lama saya dan Wincci tidak bersua muka. Kali terakhir kami berjumpa ketika Wincci menyambut hari lahirnya beberapa bulan lalu. Jadi, apabila saya tahu tentang acara pada hari ini, saya terus terpanggil untuk melakukan gimik tersebut.
Hubungan anda dan Wincci dilihat agak rapat. Boleh ceritakan bagaimana anda berjumpa?
Kami mula-mula kenal ketika menjayakan sebuah iklan untuk sebuah syarikat telekomunikasi tempatan. Sejak itu hubungan kami agak rapat. Saya dan Wincci sering berbalas mesej bertanya khabar.
IQRAM mempunyai sebab tersendiri kenapa dia tertarik untuk mengenali Wincci dengan lebih rapat.


Mengapa anda tertarik untuk mengenali Wincci dengan lebih rapat?
Penggambaran iklan tersebut diadakan pada bulan Ramadan tahun ini. Ketika itu, Wincci mengadu pada saya bahawa dia sakit perut kerana turut ikut berpuasa bersama-sama umat Islam yang lain. Saya begitu kagum dengan pilihannya untuk berpuasa dan dari situ kita mula berkawan.
Apa istimewanya Wincci pada mata anda?
Dia seorang yang gila kerja. Dia mampu untuk melakukan pelbagai kerja demi mencapai cita-citanya. Di samping itu, dia tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan sering memberikan semangat dan motivasi kepada saya untuk menyambung pelajaran dan menguasai bahasa Inggeris.
Tindakan anda memberi cincin ‘persahabatan’ kepada Wincci menimbulkan banyak tanda tanya. Adakah anda merancang untuk menyuntingnya menjadi suri hidup anda? Apa pendapat keluarga anda pula?
(Sambil ketawa) Saya tidak cakap mahu menyuntingnya menjadi isteri tetapi jika dijodohkan apa salahnya. Tiga orang pak cik saya mendirikan rumah tangga dengan pasangan mereka yang berbangsa Cina. Rasanya, tidak menjadi masalah bagi kaum keluarga saya untuk menerimanya.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Saya sekarang sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta bersama Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: