Monday, December 30, 2013

Iesya Toh Pamer Kemewahan Untuk Motivasi Diri


Iesya Toh
PETALING JAYA: Pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM), Iesya Toh menganggap tindakannya mempamerkan barangan berjenama di laman Instagram adalah sekadar untuk berkongsi tentang fesyen dengan pengikut-pengikut di laman sosial tersebut.
Iesya atau nama sebenarnya Nor Iesyatirradiah Sunny Toh, 29, berkata, dia tiada niat untuk bersikap bangga diri atau menunjuk-nunjuk dengan kemewahan yang dimiliki sekarang.
"Saya hanya berkongsi tentang fesyen dengan pengikut-pengikut saya di laman tersebut, lagi pula laman Instagram direka adalah untuk gambar, jadi tidak salah rasanya untuk saya berkongsi gambar-gambar tertentu.
"Bagi saya, ia juga sebagai motivasi untuk saya sendiri agar bekerja lebih keras untuk memiliki barang-barang seperti itu," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Ahad.
Iesya berkata demikian ketika diminta mengulas tentang laporan di ruangan pojok yang mengatakan bahawa dia terlalu menunjuk-nunjuk dengan kemewahan yang dimilikinya.
Malah menurut laporan tersebut, malah ada pihak yang tidak berpuas hati dan cuba menjatuhkan wanita ini daripada industri.
Sementara itu, Iesya berkata, terpulang kepada individu untuk melihat perkara tersebut sebagai sesuatu yang positif atau negatif.
"Pada saya bukan hanya saya seorang sahaja yang berbuat begitu, malah ramai lagi rakan artis dan orang lain yang sering memuat naik gambar dengan barangan jenama mereka.
"Sebagai selebriti saya faham ada sahaja orang yang tidak berpuas hati dengan apa yang kita lakukan, namun kuasa untuk menjatuhkan seseorang itu bukan ditangan mereka sebaliknya ditangan Allah," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: