Friday, December 27, 2013

Geng Lawak Bakal Gegarkan Tahun Baharu 2014 Di PICC


Kumpulan Jambu iaitu Yus (kiri) dan Tauke
PETALING JAYA: Satu persembahan lawak yang dikenali Geng Lawak @PICC akan diadakan sempena sambutan Tahun Baharu 2014 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dekat sini pada 31 Disember ini.
Pengurus Komunikasi Korporat PICC, Norshafrina Samsuri berkata, seramai lapan orang pelawak akan bergabung membentuk tiga kumpulan dalam persembahan selama dua jam sebelum tibanya tahun baharu.
Pelawak-pelawak berkenaan terdiri daripada Kumpulan Jambu yang dianggotai Tauke dan Yus, Osama (Os dan Isma Alif), SYJ (Shuk, Yassin dan Jihan) manakala Kuah Jenhan dan Sabri Yusus pula adalah pengacara.
“Buat pertama kali dalam sejarah, pentas yang gah dan sebesar Dewan Plenari, PICC menganjurkan acara pementasan sebegini di mana ia akan dimeriahkan dengan pementasan lawak jenaka secara duduk dan berdiri bergilir gilir selama dua jam,” katanya kepada mStar Online dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Khamis.
SYJ dianggotai oleh Yassin (dari kiri), Jihan dan Shuk
Norshafrina berkata, persembahan yang akan bermula pada pukul 9 malam itu adalah kemuncak kepada acara yang akan bermula pada sebelah pagi di pusat konvensyen tersebut seperti bazar dan gerai jualan.
Jelasnya, selesai persembahan lawak yang dijangka kira-kira pukul 11 malam, orang ramai boleh menyertai sesi ramah mesra dengan barisan pelawak berkenaan sebelum acara ‘countdown’ tahun baharu 2014 di satu lokasi lain di pusat konvensyen itu.
“Penganjuran Sambutan Tahun Baru 2014 @PICC yang turut diselitkan dengan acara hiburan ini adalah sebagai langkah pertama untuk menjadikan PICC sebagai salah sebuah lokasi utama acara hiburan seperti pementasan teater, ‘talk show’ serta konsert artis tempatan mahupun antarabangsa.,” katanya.
Tiket-tiket bagi menyaksikan persembahan berkenaan dijual dengan harga RM85, RM125, RM155 dan RM205. Ia boleh didapati dengan melayari www.ticket2u.biz atau hubungi 03-88876000

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: