• AFC Fried Chicken mahu jadi francaisorChicken Chop antara menu masakan barat yang sering menjadi hidangan kegemaran pelanggan restoran AFC Fried Chicken.

SEBUT mengenai makanan segera, sudah pasti ramai terbayangkan keenakan burger McDonalds, ayam goreng KFC atau piza Domino’s.

Bahkan restoran seperti ini turut dijadikan destinasi buat keluarga mahupun rakan-rakan berkumpul, berkongsi cerita atau sebagai lokasi perbincangan tanpa mengira waktu.

Melihat trend itu, dan didorong minat yang mendalam terhadap dunia kulinari, Anua Abdul Aziz berazam mencipta kelainan dengan membuka restoran pertamanya AFC Fried Chicken Restoran di Taman TTDI Jaya, Shah Alam pada November 2012.

“Saya tidak pandai memasak apatah lagi memiliki kebolehan istimewa pada awal pembabitan dalam dunia kulinari. Tetapi saya suka menonton rancangan masakan. Tidak kiralah sama ada ia program rancangan tempatan mahupun luar negara.

“Kerana minat yang begitu mendalam, saya mula memikirkan untuk memiliki restoran sendiri, dan menjadikan resipi ayam goreng sebagai menu utama di samping memberi sedikit sentuhan kelainan kerana tidak mahu meniru konsep restoran segera sedia,” kata Anua yang juga Pengarah Urusan Restoran AFC Fried Chicken.

Bermula dengan modal sekitar RM150,000, Anua membuka restoran pertamanya di Shah Alam selepas membuat kajian mengenai menu dan konsep selama tiga bulan.

“Di AFC Fried Chicken, kami bukan sahaja menawarkan hidangan ayam goreng sebagai menu utama, tetapi pelanggan juga boleh menikmati hidangan Barat mahupun tempatan serta makanan sampingan lain.

“Istimewanya, semua menu di sini adalah hasil ciptaan resipi kami sendiri termasuk tepung ayam goreng. Itulah yang membezakan restoran kami dengan yang lain selain menerapkan konsep restoran terbuka yang lebih santai,” katanya.

Bakal buka cawangan di Pantai Timur

Baru menapak dalam industri itu selama setahun, AFC Fried Chicken kini mempunyai dua cawangan baharu iaitu di pasar raya Giant Kuala Selangor dan pasar raya Giant di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“AFC Fried Chicken menyasarkan tiga lagi pembukaan cawangan pada 2014. InsyaALLAH, cawangan keempat dijangka dibuka di Kuala Terengganu, pada Januari ini.

"Kami juga sedang mengenal pasti beberapa lokasi sesuai bagi pembukaan dua lagi cawangan,” katanya.

Enggan terikat dengan perniagaan berkonsepkan restoran semata-mata, Anua turut berhasrat membuka kios selain memulakan perniagaan berkonsepkan kafeteria bergerak dengan menjadikan menu ayam goreng sebagai hidangan utama.

Mahu jadi francaisor

AFC Fried Chicken juga merancang menjadi francaisor utama kepada perniagaan makanan segeranya selepas syarikat itu memenuhi syarat iaitu perlu beroperasi lebih dua tahun enam bulan dan memiliki sekurang-kurangnya dua cawangan.

Bagi memastikan perniagaannya berkembang, AFC Fried Chicken akan menawarkan program francais kepada usahawan tempatan yang berminat menjadi rakan kongsi rangkaian mereka.

“Kami ingin membuka peluang buat usahawan tempatan memulakan perniagaan mereka menggunakan jenama dan konsep AFC Fried Chicken dengan hanya bermodalkan RM150,000.

“Kami sentiasa membuka ruang perbincangan kepada mereka yang berminat. Latihan dan bimbingan juga akan diberikan selain mereka boleh memilih untuk membuka restoran atau kios di lokasi pilihan sendiri,” katanya.

Cabaran tidak lunturkan semangat

Anua seperti usahawan lain turut menghadapi pelbagai masalah terutama aspek kewangan yang memerlukan beliau mengeluarkan perbelanjaan besar bagi menampung kos promosi.

Halangan dan cabaran itu bagaimanapun tidak pernah melunturkan semangat Anua dalam memastikan perniagaannya terus berkekalan.

“AFC Fried Chicken pernah terlibat dengan rancangan promosi makanan di sebuah stesen televisyen swasta dan selepas itu, sambutannya amat menggalakkan sehingga kami tidak menang tangan melayan pelanggan.

“Selain menggunakan media untuk promosi, kami juga bergerak sendiri termasuk menyebarkan risalah,” katanya.