• Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang

JIKA anda peminat Ustaz Azhar Idrus, sudah tentu akan menyukai filem terbaru terbitan MIG berjudul Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang.

Ini kerana filem arahan Pierre Andre itu turut menampilkan penceramah bebas itu yang menjadi fenomena di negara ini.

Kata Pierre, filem ini dihasilkan untuk membawa mesej berdakwah kepada anak-anak muda.

“Saya memang sudah lama berniat untuk membuat filem sebegini dan akhirnya berjaya. Tujuan saya adalah untuk menyampaikan pendekatan dakwah kepada anak-anak muda.

“Bagi saya dakwah itu bukan dengan satu cara tetapi pelbagai dan saya percaya peminat pasti menerimanya dengan baik,” katanya.

Selain Ustaz Azhar Idrus, filem ini turut menampilkan barisan pelakon lain seperti kumpulan Shiro, Zalif Sidek, Mikael Andre dan Eppy Kodiang.

Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang mengisahkan Dadu, seorang pemuda yang hanyut tanpa tujuan dari hari ke hari. Dia sering kali dipecat dari kerja dan tidak pernah serius dengan segala yang dilakukannya. Dadu tinggal bersama Muiz yang turut bergantung kepada Dadu untuk hidup. Kedua-dua mereka tidak taat pada agama sehinggalah sepupu Dadu, Hamzah datang tinggal bersama.

Hamzah kini adalah seorang yang taat pada agama dan sering pergi ke masjid untuk bersembahyang dan mendengar ceramah agama. Terkejut dengan perubahan pada diri Hamzah, Dadu dan Muiz berazam untuk mengubah diri mereka tetapi jalan untuk kembali jalan yang lurus bukanlah sesuatu yang mudah.
Filem ini bakal menjengah ke pawagam pada 28 November ini.