• ‘Masak dari hati, masak dengan iman’

PENAMPILAN cukup bersahaja. Malah, keletahnya sangat selamba! Dua tagline yang selalu disebut-sebutnya ialah ‘Suka-suka hati’ dan ‘Masak dari hati, masak dengan iman’, benar-benar menawan hati.

Tetapi, itulah yang menarik perhatian penonton untuk melihat aksinya memasak dalam rancangan masakan Hidangan Barakah, yang disiarkan pada Ramadan tahun lalu di stesen TV Al Hijrah saluran 114.

Dek kerana itu juga, empunya nama, Chef Ammar Al Ali ini,  terus diberi tanggungjawab mengendalikan rancangan masakannya sendiri yang berjudul Chef Ammar.

Masih lagi mengekalkan gaya sama, ternyata program masakan Chef Ammar berjaya menaikkan rating stesen TV berkenaan.

Sudah memasuki musim ketiga sejak Aidiladha lalu, rancangan ini yang disiarkan setiap Ahad, jam 11 pagi ternyata menggamit hati penonton untuk terus melekat depan kaca televisyen.

Selain daripada aksinya itu, apakah yang membuatkan program masakan itu begitu menarik?

Rata-rata maklum balas yang diterima daripada penonton rancangan berkenaan memberitahu, kelainan program yang ditampilkan adalah kekuatan utamanya.

Meskipun ia hanyalah satu program masakan  Arab Mediterranean tetapi ia telah diberi nafas baharu dengan memaparkan jenis-jenis masakan mengikut cara Islamik.

Jelas Chef Ammar, suntikan elemen itu dibuat supaya masyarakat tidak lagi dimomokkan dengan kebosanan ketika menghadiri ceramah agama.

“Bayangkan anda diberi dua pilihan. Satu ceramah agama dan satu lagi ke program masakan. Mana satu yang anda pilih? Semestinya anda akan pilih ke program masakan bukan? Kenapa? Kerana ia lebih seronok,” katanya kepada Sinar Harian ketika bertemu di studio masakannya di USJ, kelmarin.

Katanya, program berkenaan ibarat misi serampang dua mata iaitu memasak sambil berdakwah.

“Gabungan elemen Islamik seperti doa, bacaan zikir dan al-Quran dalam program ini adalah penyeri agar ia lebih menyeronokkan. Seperti tagline saya ‘masak dari hati, masak dengan iman’, maksudnya hati gembira boleh memberi keputusan yang bagus.

“Begitu juga dengan masakan, jika kita memasak dari hati gembira, pasti makanan yang dihasilkan cukup sedap. Apatah lagi memasak itu adalah jiwa,” katanya sambil berseloroh.

Tambahnya lagi, Hidangan Barakah adalah  program masakan pertama seumpamanya di negara ini yang dimulakan dengan doa, bacaan zikir dan al-Quran.

“Idea itu kemudiannya  dibawa pada program masakan saya sendiri, Chef Ammar dan ternyata ia mendapat sambutan daripada penonton,” katanya.

Melalui program masakannya, Chef Ammar, ternyata dia tidak lokek untuk berkongsi rahsia masakan terutamanya mengenai masakan Arab Mediterranean kepada  penonton.

“Saya kongsi semua rahsia masakan bersama penonton. Ibu (Se Ham Al Najar) pernah berpesan kepada saya agar berkongsi ilmu. Walaupun rahsia masakan itu didedahkan, rasa masakan yang dihasilkan tetap berbeza mengikut cita rasa individu,” katanya yang meminati bidang kulinari sejak kecil.

Tidak terhad kepada resipi sahaja, Chef Ammar turut berkongsi pelbagai tip ketika berada di dapur seperti pembahagian masa, cara penjimatan, penggunaan makanan sunah dan cara memilih, memotong dan mencuci bahan masakan.

“Selain menitikberatkan soal kesihatan, peraturan utama memasak adalah terletak pada pembahagian masa di dapur.

“Masakan yang ambil masa lama perlu dilakukan terlebih dahulu, manakala masakan yang dapat siap cepat boleh dibuat di waktu akhir.

“Memasak adalah satu perkara mudah. Ia tidak mendatangkan beban khasnya kepada mereka yang berkerjaya,” katanya.

Secara tidak langsung, katanya, program masakan yang dikendalikannya itu mampu mendidik orang ramai khususnya dalam bidang kulinari.

“Itulah tujuan utama saya, mendidik orang ramai lebih-lebih lagi dengan menggunakan bahan masakan yang terdiri daripada makanan sunah seperti buah delima, anggur, kurma, rehan dan daun selasih yang ada disebut di dalam al-Quran.

“Kalau mengenai penjimatan pula, contohnya seperti menggunakan lebihan minyak bagi masakan daging atau ayam yang boleh diguna pakai semula untuk memasak nasi,” jelasnya.

Kurang mengenali masakan Arab

Ketika bertemu di studio masakannya, Chef Ammar menghidangkan tetamunya dengan Nasi Kabsa berlauk daging kambing.

Katanya, Nasi Kabsa adalah salah satu masakan Arab selain daripada Nasi Mandy yang menjadi sebutan oleh masyarakat tempatan.

“Masakan Arab dapat ditakrifkan sebagai pelbagai masakan serantau di Dunia Arab atau Timur Tengah yang menjangkau dari Maghribi, Tunisia, Yaman, Somalia, Sepanyol, Morroco, Turki, Lubnan, Afghanistan, Iran dan negara serantaunya yang lain.

“Nasi Mandy adalah salah satunya. Ia berasal dari Yaman. Masakan Arab lain seperti Nasi Kuskus (Magribi, Tunisia), Nasi Kebuli (Yaman), Nasi Bukhari (Uzbezkistan) dan Nasi Kabsa (Arab Saudi).

“Setiap masakan Arab itu bercirikan sesebuah negara kerana lazimnya ia dijadikan makanan ruji bagi negara tersebut,” katanya.

Tambahnya, setiap masakan Arab terletak pada ramuan rempahnya, selain penggunaan beras istimewa serta berlaukkan daging kambing atau ayam panggang yang lembut.

Pada masa sama, Chef Ammar mengeluarkan rempah asli bagi masakan Arab yang diciptanya sendiri yang hanya boleh didapati di kedai Arab terpilih.

“Setakat ini, ada tiga rempah yang dihasilkan iaitu rempah Mandy, Kabsah dan Bukhari bermula dari harga RM18 hingga RM22. Insya-ALLAH, setiap dua bulan saya akan cuba untuk keluarkan produk rempah baharu,” katanya yang juga menyukai masakan Melayu.

Studio masakan

Bapa tiga anak ini adalah seorang yang berpengalaman luas dalam bidang masakan dan pernah bekerja sebagai chef di beberapa hotel di negara ini. Untuk lebih dekat dengan peminatnya, Chef Ammar membuka studio masakannya sendiri di USJ dan membuka kelas masakan pada setiap Sabtu dan Ahad.

“Kelas masakan ini untuk mengajar cara masakan berdasarkan Islamik dan berkongsi pelbagai resipi masakan. Terdapat dua sesi pengajaran iaitu sebelah pagi dan petang dan setiap sesi pengajaran terhad kepada 10 peserta.

"Saya tidak mahu menyusahkan orang,  dengan mengambil masa mereka terlalu banyak sehingga ada di kalangan peserta gelisah apabila mengikuti kelas saya nanti.

"Cukuplah beberapa jam dalam kelas berkenaan dan impaknya memberi kesan kepada peserta,” katanya yang fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Arab.

Ketika ditanya adakah dia berhasrat untuk membuka sebuah restoran, Chef Ammar sambil menggeleng kepala memberitahu:

“Restoran memerlukan 200 peratus perhatian daripada saya. Saya khuatir tidak dapat melakukannya. Kasihan apabila pelanggan datang ke restoran berhasrat untuk jumpa saya, tapi saya tiada pula.

“Jadi, biarlah saya dengan cara begini. Jika mereka nak merasa masakan saya, saya alu-alukan kedatangan mereka ke studio saya,” jelasnya sambil memberitahu dia lebih suka isterinya yang merupakan warga tempatan memasak ketika berada di rumah.