• Lagi penipuan wang palsu RM20Rajoo menunjukkan perbandingan RM20 asli dan yang palsu.

KUALA KURAU - Kes penipuan wang tunai RM20 palsu terus berleluasa di negara ini.

Kali ini, seorang penjual surat khabar di Pekan Kuala Kurau, di sini, dipercayai diperdaya dua lelaki yang berurusan dengannya menggunakan wang palsu RM20.

Mangsa yang hanya dikenali Rajoo, 61, berkata, kejadian itu berlaku lebih kurang jam 12.30 tengah hari apabila kedainya dikunjungi seorang lelaki berusia lingkungan 20-an untuk membeli surat khabar.

Menurutnya, lelaki terbabit menaiki motosikal bersama seorang rakannya menyerahkan RM20 untuk membayar surat khabar setelah memberi alasan tiada wang kecil.

“Ketika kejadian, hanya ada beberapa pelanggan dalam kedai dan tanpa membuang masa saya menyerahkan duit baki kepada lelaki berkenaan.

“Saya hanya menyedari wang itu palsu semasa mengira wang sebelum menutup kedai jam 2.30 petang,” katanya ketika ditemui di kedainya di Pekan Kuala Kurau, di sini semalam.

Rajoo berkata, terdapat perbezaan ketara pada wang itu  sehingga meyakinkannya RM20 yang diterima itu palsu.

"Setelah membuat perbandingan, saya dapati wang palsu itu tidak mempunyai kesan kilat menunjukkan nilai RM20, selain kesan garisan kilat yang terlalu tebal berbanding RM20 asli.

"Walaupun saiz dan tulisannya sama dengan wang asli, namun warna wang palsu sedikit pudar dan seakan-akan warna RM10, selain kualiti RM20 rendah seperti difotostat pada kertas biasa.

"Saya menunjukkan RM20 palsu itu kepada seorang rakan Cina dan terkejut dimaklumkan wang palsu dengan nombor siri AL 2261319 turut digunakan untuk beberapa siri penipuan di sekitar daerah Taiping,” katanya.

Rajoo berkata, setelah lebih 10 tahun berniaga di sini, ini kali pertama dia menerima duit palsu.

“Disebabkan ia melibatkan nilai yang kecil, saya tidak berhasrat untuk membuat laporan polis tetapi mengharapkan orang ramai lebih berhati-hati.

"Dalam masa sama saya minta pihak berkenaan ambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini,” katanya.