• Izzat Fathi Hisham

SETELAH dua minggu bersiaran, akhirnya Izzat atau nama sebenarnya Izzat Fathi Hisham dari Pantai Remis, Perak menjadi peserta pertama yang tersingkir menerusi program pencarian pendakwah muda, Pencetus Ummah.

Penyingkiran Izzat diumumkan oleh pengacara program itu, Dr Ridhuan Tee Abdullah yang bersiaran secara langsung dari Auditorium Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), Kajang.

Pakar Motivasi itu terpaksa meninggalkan Pencetus Ummah setelah mendapat undian terendah berbanding 11 saingannya yang lain.

Sebelum itu, anak muda berusia 24 tahun itu berada di tangga tiga terbawah bersama dua peserta lain iaitu Fidz atau Mohd Hafidz Mohd Zawawi dan Salman atau nama sebenarnya Salman Maslori menerusi persembahan mereka di minggu pertama program itu.

Jumlah pemarkahan dibuat berdasarkan 100 peratus keputusan juri namun nasib tiga peserta terbawah ditentukan oleh undian penonton.

Pencetus Ummah adalah sebuah program realiti Islamik terbaru yang menggunakan pendekatan baru dalam berdakwah.

Bertemakan Duniaku Dakwahku, program ini bertujuan untuk meneruskan legasi membentuk masyarakat terutama anak muda ke arah perilaku yang lebih baik dan berakhlak mulia.

Demi mencapai perkara itu, setiap peserta program juga diberi tunjuk ajar oleh fasilitator atau mimbar berkebolehan iaitu Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Ustaz Zulkefli Hamat dan Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Razak.
Barisan juri tetap pula ialah Datuk Abu Hassan dan Abby Fana manakala Imam Muda Asyraf menjadi juri undangan pada malam tadi.

Dengan penyingkiran Izzat, kini tinggal 11 bintang bakal meneruskan perjuangan bagi mencari siapakah bakal menjadi juara program realiti yang diberi nafas baru ini.