• Fouziah GousFouziah Gous

SEBUT nama Nor Fouziah Mohd Gous atau Fouziah Gous, pasti ingatan akan terarah pada empunya diri yang memiliki susuk tubuh tinggi lampai, berambut hitam, panjang dan lebat serta wajah cantik kacukan Pakistan/Cina/Melayu.

Bukan sahaja punya pakej lengkap, Fouziah juga antara aktres berbakat besar di Malaysia yang masih menjadi pilihan ramai pengarah dan penerbit.

Sentiasa cantik pada mata yang memandang, maka tidak hairanlah artis kelahiran Kuala Lumpur ini sangat menitikberatkan penjagaan dalaman dan juga luaran.

Bagaimanapun untuk mengekalkan bentuk badan yang menawan, akui Fouziah,  tiada istilah diet yang ketat dalam jadual pemakanannya.

Sebagai 'pencinta makanan', kata Foziah dia akan menikmati apa jua juadah makanan yang lazat termasuk kek dan coklat.

Pelik? Bagaimana pula dia masih mampu mengekalkan bentuk badan menawan? Jom kita ikuti wawancara berikut...


Apa pengertian cantik dan sihat bagi anda?

Bagi saya seseorang itu akan nampak cantik bila dia sihat dan tidak bagus juga jika mereka nampak cantik tetapi tidak sihat.

Anda sentiasa kelihatan langsing, apa rahsianya?

Tidak ada apa-apa rahsia. Saya cuma pastikan setiap minggu saya akan ‘workout’ dan bila kita ‘workout’ badan kita akan mengeluarkan peluh dan peluh sebenarnya dapat membersihkan kulit muka. Jadi secara tidak langsung, badan kita juga akan sentiasa berasa segar.

Selain bersenam, adakah anda mengamalkan diet?

Sejujurnya saya adalah seorang ‘food lover’ atau kaki makan. Nak cantik tak semestinya kita kena ikat perut, kita boleh makan tapi makanlah makanan yang sihat. Tapi bukan bermakna tak boleh makan coklat, kek dan sebagainya. Macam saya, saya masih makan coklat, kek dan sebagainya. Tapi selepas makan, saya akan pastikan saya ‘workout’ untuk bakar balik kalori yang saya makan.

Bagaimana rutin pemakanan anda?

Saya makan seperti biasa dan setiap hari saya mesti akan makan yang sedap. Saya tak bersetuju sesetengah orang yang diet, tak makan tengah hari tapi lapar pada waktu malam. Sebenarnya makan tengah hari sangat penting kerana kita bekerja dan bila kita bekerja ada kalori yang akan dibakar.

Sebagai selebriti, bahagian manakah pada tubuh anda yang anda rasakan cantik atau menjadi aset utama?

Bagi saya kecantikan adalah satu perkara yang subjektif. Ada orang kata rambut,  ada orang kata suka lihat wajah, badan. Tapi bagi diri saya sendiri, saya akan pastikan perut saya tidak buncit dan ambil berat mengenai keseluruhan mengenai diri saya.

Sesetengah wanita sanggup berbuat apa sahaja untuk nampak cantik, sebagai selebriti apa rawatan yang paling mahal anda buat untuk kecantikan?

Bagi saya untuk nampak cantik mudah sahaja dan tidak perlulah buat suntikan dan sebagainya untuk nampak cantik. Sesetengah orang nak cantik punya pasal sanggup buat perkara yang pelik-pelik. Macam saya, untuk pastikan muka tidak nampak bulat, bila cuci muka saya akan urut wajah, urut pipi bagi memastikan pipi tak jatuh.

Adakah anda sering meluangkan masa ke spa, salun dan sebagainya?

Spa adalah benda wajib yang saya lakukan kerana sesekali saya akan lakukan skrub seluruh badan dan bila mata penat saya akan buat rawatan mata.

Apa yang sering anda lakukan pada masa lapang?

Saya suka isi masa lapang dan jika ada masa terluang saya akan main badminton, boling atau pergi gimnasium. Kalau di rumah saya suka memasak. Pendek kata saya tiada masa untuk duduk dab tengok TV.

Perkembangan terkini?

Saya masih lagi bercuti tetapi tidaklah bermakna duduk di rumah sahaja. Setiap hari ada sahaja benda yang saya buat dan Insya-ALLAH  Disember ini saya akan terlibat penggambaran drama bersiri dengan Rashid Sibir. Selain itu saya sibuk menguruskan perniagaan saya dan akan ada beberapa perancangan untuk masa terdekat ini. Malah saya juga lebih selektif dalam memilih tawaran lakonan selepas ini.

Nasihat untuk semua wanita atau gadis di luar sana?

Tidak salah untuk obses dengan kecantikan tetapi biarlah obses dengan cara yang sihat dan jangan sampai tidak boleh kontrol diri sendiri. Obseslah dengan kecantikan yang Allah SWT bagi. Jangan malas untuk bersenam dan macam saya, saya selalu beli baju yang kecik sedikit untuk motivasi diri saya. Bila baju dah ketat, saya tahu saya perlu untuk turunkan berat badan. Minum banyak air dan banyakkan berdoa.