Monday, November 25, 2013

Dua Pelakon Dakwa Dianiaya Lima Artis Veteran


Den Wahab
PETALING JAYA: Dua pelakon mendakwa dianiaya oleh lima artis veteran selepas nama mereka disenaraikan antara tujuh defendan yang diarahkan membayar wang RM60,000 kepada kumpulan artis berkenaan berhubung isu saman mereka kepada pemimpin Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).
Dua artis berkenaan ialah pelakon Syed Nahar Syed Mokhtar (Syean), 37, dan juga Zaharudin Wahab, 50, (Den Wahab), masing-masing bekas Setiausaha Kehormat dan Bendahari persatuan.
Kedua-dua artis tersebut berkata, selepas dilantik memegang jawatan, mereka telah mengemukakan surat peletakan jawatan tidak lama kemudian kerana mempunyai komitmen lain tetapi terkejut apabila nama mereka dikaitkan antara individu yang di saman.
Pelakon Den Wahab berkata, dia tidak menghadiri sesi pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke 14 (AGM-14) pada 26 Mei 2012, tetapi pelantikannya dibuat oleh jawatankuasa yang dipilih dalam sesi itu.
Bagaimanapun kata Den, selepas seminggu memegang jawatan berkenaan, dia telah menghantar surat kepada persatuan untuk meletakan jawatan dan tempatnya sebagai Bendahari di ganti oleh seorang individu bernama Megat.
“Sepanjang seminggu memegang jawatan berkenaan, saya tidak pernah menandatangani apa-apa dokumen termasuklah cek serta tidak pernah pun menjejakkan kaki ke Pejabat Seniman.
“Tapi saya terkejut apabila kes saman melibatkan lima artis veteran dan pemimpin persatuan itu, nama saya dikaitkan sekali sedangkan saya bukanlah ahli jawatankuasa persatuan itu lagi. Saya benar-benar teraniaya,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Ahad.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 November lalu memutuskan pemilihan ahli jawatankuasa Persatuan Seniman yang dibuat dalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke-14 yang diadakan pada 26 Mei 2012 di Dataran Karyawan Finas adalah terbatal dan tidak sah.
Nahar Syed Mokhtar atau Syean.
Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop turut memerintahkan defendan kedua hingga keempat iaitu bekas presiden persatuan itu Haron Aminar Rashid Salim (Harun Salim Bachik), Omar Kamarudin (Yusof Kelana) dan Wafa A.Kadir membayar ganti rugi khas sebanyak RM56,000 berhubung pembelian hartanah di Setiawangsa kepada Persatuan Seniman.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Rozaidi Jamil (Zed Zaidi), Elyas Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar (Sean) dan Zaharudin Wahab (Den Wahab).
Beliau juga turut memerintahkan semua tujuh defendan berkenaan membayar kos tindakan sebanyak RM60,000 kepada pihak plaintif iaitu kira-kira RM8,571 setiap seorang.
Pada 25 Januari lepas lima artis veteran yang dinamakan sebagai plaintif iaitu Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran (Sahlan), Roslinda Buang, Mior Ahmat Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani telah memfailkan saman terhadap pemimpin-pemimpin Seniman bagi mengisytiharkan AGM-14 persatuan berkenaan tidak sah kerana disyaki berlaku penyelewengan termasuklah pemalsuan pindaan undang-undang.
Dalam pada itu Den Wahab berkata, sepatutnya lima artis veteran berkenaan meneliti terlebih dahulu senarai baharu Ahli Jawatankuasa Seniman penggal 2009-2012 sebelum membuat kesilapan menyaman individu yang telah meletak jawatan.
Katanya, tindakan itu memberi kesan emosi kepadanya selain berasa kecewa kerana tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah semasa perbicaraan berlangsung.
“Saya benar-benar sedih sebab saya tak tahu apa-apa. Tiba-tiba kena bayar saman. Sedangkan semasa perbicaraan saya tidak pun dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya.
Sehubungan itu jelas Den Wahab dia akan mendapatkan nasihat peguam mengenai isu tersebut.
Sementara itu Syed Nahar yang juga bekas anggota kumpulan Boys’R’us pada era 1990-an berkata, dia meletak jawatan sebagai Setiausaha Kehormat selepas dua bulan memegang jawatan melalui sepucuk surat yang dihantar kepada bekas presiden iaitu Zed Zaidi.
Kata Syed Nahar, peletakan jawatan itu berpunca daripada komitmen kerjanya sebagai pelakon dan digantikan oleh Zahrin Ishak yang juga penasihat undang-undang persatuan berkenaan.
“Sebelum meletakkan jawatan, saya tidak pernah menandatangani apa-apa dokumen sama seperti yang berlaku kepada Abang Din (Din Wahab). Tetapi nasib kami serupa apabila tiba-tiba diarahkan membayar saman.
“Apa yang berlaku ini benar-benar mencemarkan nama saya kerana saya bukan individu yang bersalah,” jelasnya.
Abu Bakar Omar
Syed Nahar berkata, dia tidak teragak-agak untuk mengemukakan saman malu kepada lima artis veteran berkenaan kerana kesilapan itu telah menjatuhkan maruah dan memalukannya.
Sementara itu plaintif pertama dalam kes berkenaan iaitu Abu Bakar Omar, 64, yang dihubungi berkata, pihaknya menyenaraikan nama-nama defendan tersebut selepas merujuknya daripada pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Katanya, kesilapan itu berpunca daripada kelemahan bekas kepimpinan persatuan berkenaan yang gagal mengemas kini senarai Ahli Jawatankuasa baharu persatuan itu selepas berlaku perubahan jawatan.
“Tengoklah... kata bijak sangat... kalau bijak, kenapa mereka (bekas pemimpin Seniman) tak tukar nama tu di ROS? Kami (ambil tindakan) berpandu nama yang ada di ROS,” sindirnya.
Tambah Abu Bakar, dalam hal ini Den Wahab dan Syed Nahar perlu merujuk kes tersebut ke mahkamah kerana keputusan telah pun dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: