• Amuk sebab bapa berleterTertuduh (kiri) keluar dari mahkamah untuk dihantar ke penjara bagi menjalani hukuman.

KOTA BHARU - Amukan seorang buruh terhadap bapa yang meleterinya, 8 November lalu, mengundang padah apabila dihukum penjara dua tahun enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad selepas tertuduh bukan sahaja khianat dan pukul, malah mengaku bersalah mengugut untuk membakar rumah serta membunuh bapanya itu.

Kesalahan dilakukan Mohd Haswandi Mohd Reduan, 28, terhadap Mat Reduan Ab Kadir, 49, di alamat Padang Demit Kubang Kerian di sini, pada jam 10 malam.

Ketika merayu, Mohd Haswandi memberitahui mahkamah, tindakannya itu berpunca daripada bapa yang berleter supaya membuat simpanan duit gajinya untuk masa depan.

“Masa itu saya baru balik kerja, saya belum makan nasi tetapi dia sudah berleter. Saya tidak sengaja tuan. Mohon hukuman saya diringankan,” katanya.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Salam Yusuf memohon supaya hukuman setimpal dan berat dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan serius yang dilakukannya lebih-lebih lagi melibatkan bapanya sendiri.

“Perbuatan tertuduh menyebabkan kerugian kepada bapanya dan mohon mahkamah mengambil kira faktor usia mangsa yang sudah tua, tetapi, tertuduh masih tergamak buat begitu,” katanya.

Pada tuduhan pertama, tertuduh dikenakan hukuman penjara dua tahun kerana mengugut untuk membakar rumah dan membunuh mangsa serta mengacu parang terhadap bapanya itu.

Kedua, dia dihukum penjara setahun akibat khianat dengan memecahkan cermin kereta Mercedez menggunakan besi absorber motosikal kerana niat menyebabkan kerugian dan kebinasaan kepada harta itu.

Manakala tuduhan ketiga, tertuduh dihukum penjara enam bulan selepas mengaku mendatangkan kecederaan kepada mangsa dengan memukul kakinya menggunakan kayu.

Berdasarkan fakta, kejadian berpunca daripada tertuduh memarahi adiknya yang didakwa bising kerana meminta air ketika ibu bapa mereka sedang makan.

Nik Habri mengarahkan semua hukuman itu berkuat kuasa serentak daripada tarikh dia ditahan, sehari selepas kejadian.