• Ida Nerina

WALAUPUN berkerusi roda, Ida Nerina dilihat semakin aktif terhadap kerja-kerja di belakang tabir.

Dia yang sebelum ini mengalami kecederaan pada tulang belakang selepas insiden kemalangan di rumahnya pada 2009, bagaimanapun cukup berahsia tentang kehidupan peribadinya.

Bukan saja pada media, malah Ida atau nama sebenarnya Ida Nerina Hussain juga nampaknya meletakkan batasan buat peminat seandainya ada pertanyaan yang difikirkan begitu remeh.

“Bosanlah cerita pasal peribadi saya. Cerita mengenai kerjaya saya lagi menarik,” katanya ketika ditemui selepas pratonton antologi filem pendek, Ikal Mayang, kelmarin.

Namun begitu, dia juga sempat melontarkan pendapatnya mengenai sikap sesetengah artis yang lebih bersikap terbuka dalam hal ini.

“Masing-masing ada pendirian mereka sendiri dan ia terpulang pada mereka,” katanya.

Jadi pengarah kreatif

Bercerita mengenai perihal kerjayanya, Ida yang kini menggalas tugas sebagai Pengarah Kreatif bagi kompilasi filem pendek Ikal Mayang selain aktif mengarah dan menerbitkan teater.

“Saya memang dah lama teringin nak jadi pengarah, malah sejak dulu lagi, saya sudah berjinak-jinak dalam teater selain lakonan.

“Cuma, pada ketika itu, rezeki lebih banyak berpihak dalam bidang lakonan.

“Jadi, apabila mendapat peluang sekarang untuk terlibat dalam bidang pengarahan, saya benar-benar menyukainya,” jelasnya yang turut mengarahkan She.

Mengenai Ikal Mayang, Ida memberitahu ia adalah cetusan idea daripada organisasi bukan kerajaan (NGO), Women: Girls.

“Ikal Mayang adalah kompilasi filem pendek arahan 15 penggiat seni wanita mengisahkan isu-isu kehidupan kaum Hawa sempena dengan Hari Wanita Sedunia yang telah berlangsung Mac lalu.

“Ia juga adalah sebuah platform untuk menggalakkan dan memberikan peluang pada pembikin filem wanita untuk berkembang.

“Misi Ikal Mayang sendiri adalah sebagai menaikkan martabat wanita dalam konteks memaparkan hasil-hasil filem pendek yang dibikin,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak enam filem pendek yang terpilih daripada projek ini bakal ditayangkan di saluran Astro First bermula 7 November depan.

“Pemilihan enam filem daripada projek tersebut merupakan satu pengiktirafan besar buat diri saya.

“Saya anggapnya sebagai permulaan dalam menunjukkan karya-karya hasil penggiat seni wanita di negara ini.

“Enam filem pendek itu ialah 1-800-baby arahan Datin Sofea Jane, Pantang (Vanidah Imran), Jerat Suami (Dira Abu Zahar), Inspektor Mastura (Elaine Daily), Odah (Junaidah M.Nor) dan Nawar (Aida Fitri Buyung).

“Ini adalah satu pencapaian yang sangat besar di mana ia juga sebagai pembuka mata buat industri seni tempatan bahawa kita masih mempunyai pengarah-pengarah wanita yang sangat berbakat,” katanya.

Lebih membanggakan apabila projek Ikal Mayang turut mendapat perhatian penggiat seni luar negara apabila mereka diundang menyertai Festival Filem Antarabangsa Busan ke-18 (BIFF18)  pada 3 hingga 12 Oktober lalu di Busan, Korea Selatan.

Dalam pada itu, pelakon filem Layar Lara ini mengakui rindu untuk berlakon semula.

Malah, setelah sekian lama menyepikan diri, baru-baru ini, pelakon filem Sepet ini telah membuat kemunculan istimewa menerusi filem terbaru arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba, Tanda Putera memegang watak sebagai Jah Steno.

“Berlakon itu, biarlah sikit-sikit. Saya lebih senang dengan kerja-kerja di belakang tabir ini,” katanya yang menolak tawaran untuk menerima watak sebagai orang tua.

Dalam perkembangan lain, Ida kini juga menjadi juri tetap dalam program Liga Lawak Superstar di samping Vanidah Imran dan Adlin Aman Ramli.