Monday, September 30, 2013

Pahit manis anggota penguat kuasa



INDIVIDU yang melakukan kesalahan trafik serta kewujudan premis-premis haram di sekitar pusat bandar raya sudah menjadi rencah kehidupan warga kota.
Apabila anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan tugas, pasti ada dalam kalangan warga kota yang kurang senang dengan kehadiran mereka.
Lontaran kata-kata kesat sudah lali di telinga anggota penguat kuasa tatkala mereka 'menghulurkan' surat kompaun kepada pesalah trafik yang melanggar undang-undang. Antaranya termasuklah kesalahan meletakkan kenderaan di garisan kuning. Perbuatan tersebut menyumbang kepada kesesakan lalu lintas.
Penjaja haram di jalanan pula lari bertempiaran sebaik sahaja melihat kelibat anggota penguat kuasa DBKL. Namun, Parameswaran Rengasamy, 56, sudah masak dengan ragam warga kota. Beliau yang berkhidmat di Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sejak 35 tahun lalu itu juga merupakan antara pegawai penguat kuasa DBKL yang berpengalaman luas dalam menguruskan hal ehwal trafik di ibu kota.
Beliau merupakan salah seorang saksi yang melihat perubahan dan kemajuan di ibu negara selama hampir empat dekad.
Kesalahan trafik
Memulakan kerjaya sebagai waran trafik DBKL pada tahun 1978, bidang tugasnya lebih tertumpu kepada mengawal lalu lintas bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM). Beliau juga diberi kuasa untuk mengeluarkan notis kompaun kesalahan trafik bagi warga kota yang ingkar undang-undang.
Menurut Ketua Inspektor Jabatan Penguatkuasaan DBKL itu, kesesakan lalu lintas bukan masalah utama warga kota sekitar tahun 1970-an hingga 1980-an.
Pada waktu itu, bilangan kenderaan yang menyusuri jalan-jalan di ibu kota tidak sebanyak pada hari ini. Parkir-parkir kenderaan juga mencukupi untuk menampung jumlah kereta dan motosikal yang memasuki ibu kota saban hari.

PREMIS warga asing di Jalan Silang yang menjual sirih di sita oleh penguat kuasa DBKL.


"Tugas sebagai waran trafik pada waktu itu lebih mudah berbanding hari ini. Warga kota pada tiga atau empat dekad lalu sangat mematuhi peraturan dan undang-undang. Segala teguran dan nasihat daripada waran trafik diterima dengan hati yang terbuka," ujarnya yang menjawat jawatan waran trafik pada umur 21 tahun.
Ceritanya lagi, walaupun warga kota memberi kerjasama yang baik terutama dalam melancarkan pergerakan trafik, beliau juga seorang yang tegas.
Pada peringkat awal berkhidmat dengan DBKL, beliau hanya mengikut operasi menyita premis haram di jalanan dan trafik dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.
Kini, operasi dilakukan pada bila-bila masa. Bagi pegawai yang berasal dari Klang, Selangor itu, setiap anggota DBKL perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai undang-undang sebelum melaksanakan tugas setiap hari.
Berhemah
"Mentaliti dan pemikiran warga kota pada hari ini tidak seperti dahulu. Mereka lebih celik undang-undang, malah ada yang akan mempertikaikan setiap tindakan anggota DBKL sebelum mengeluarkan kompaun dan menyita premis haram. Situasi ini merupakan antara cabaran yang harus ditempuhi oleh setiap anggota ketika berada di lapangan.
"Saya tidak akan mengeluarkan kompaun sewenang-wenangnya. Sebaliknya, saya menggunakan pendekatan menegur secara berhemah," jelasnya.
Antara fungsi utama jabatan penguat kuasa DBKL ialah mengawal dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas kesalahan-kesalahan lalu lintas, tempat letak kereta elektronik, ingkar menggunakan jejantas dan halangan serta pelanggaran isyarat lalu lintas.

KESALAHAN meletakkan kenderaan di garisan kuning akan dikenakan kompaun sebanyak RM100 di bawah Akta Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 12 3(A).


Selain itu, PDRM juga telah menyerahkan kuasa mengeluarkan kompaun kepada jabatan tersebut untuk melaksanakan empat tindakan kepada pesalah trafik yang meletakkan kenderaan di garisan kuning, memotong barisan kenderaan, melanggar isyarat lampu merah dan papan tanda sejak Oktober 2010.
Kekuatan mental
Inspektor Mustafa Yusof, 58, memberitahu, beliau sentiasa berdepan dengan cabaran dalam melaksanakan tugasan menyedarkan warga kota agar tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.
Mustafa kini menjawat jawatan pembantu penguat kuasa DBKL. Bidang tugasnya mengawal penjaja dan kewujudan premis-premis tanpa lesen di sekitar kawasan yang menjadi tumpuan warga kota membeli-belah.
Bidang tugas itu menuntut kekuatan mental anggota beruniform itu setiap kali melaksanakan operasi.
"Ugutan dan tohmahan daripada warga kota terutama pendatang tanpa izin sudah menjadi cabaran harian saya. Namun, saya tidak perlu layan semua itu,'' luahnya ketika ditemui.
Kejadian disimbah dengan sos cili stimbot di wajahnya oleh penjaja baru-baru ini merupakan antara pahit manis dalam menunaikan amanah itu.
Walaupun muka dipenuhi dengan sos cili, beliau dan empat orang petugas lain tetap mengejar penjaja tersebut untuk dikenakan tindakan undang-undang.
Menurutnya, sebelum melaksanakan operasi, perancangan rapi perlu disusun terutama dalam usaha membanteras penjaja yang berniaga tanpa lesen. Premis mereka akan disita dan kelengkapan perniagaan akan dibawa ke stor sitaan direktorat penguatkuasaan DBKL di Jalan Lombong, Kuala Lumpur.
Mustafa yang akan bersara dalam tempoh dua tahun lagi memberitahu, kebanyakan penjaja jalanan yang menjual buah-buahan, makanan ringan seperti stimbot, keropok dan minuman tidak tahu mengenai peraturan perniagaan berlesen.
"Kebanyakan penjaja terdiri daripada pendatang asing, manakala ketua mereka terdiri rakyat tempatan. Walaupun sudah banyak kali premis mereka disita, namun mereka tetap berdegil," ujarnya yang pernah dilantik sebagai Koperal Skuad Berbudi Bahasa dan Berkhemah Tinggi penguat kuasa DBKL sekitar tahun 1990-an.
Setiap anggota baharu yang menjawat jawatan dalam jabatan penguatkuasaan akan menjalani latihan selama tiga bulan bagi memahirkan mereka dengan tugas penguat kuasa.
Lain pula kisah yang dikongsi oleh Awang Jusoh, 54. Pembantu Penguat kuasa dalam unit Task Force penguat kuasa DBKL itu memberitahu, tidak semua warga kota membenci tugas dijalankan oleh anggota penguat kuasa.

PENJAJA tanpa lesen di Kuala Lumpur tidak mengambil iktibar tindakan pihak berkuasa walaupun premis telah disita berulang kali.


Tugas-tugas anggota Task Force antaranya ialah mengadakan rondaan di tiga zon Kuala Lumpur iaitu zon tengah, utara dan selatan. Unit itu juga menyelesaikan aduan mengenai penjaja tanpa lesen, perniagaan warga asing dan halangan di jalan raya.
Sambil menyifatkan ada dalam kalangan warga kota yang tidak tahu mengenai undang-undang mempertikaikan bidang tugas anggota penguat kuasa DBKL, namun beliau tidak menafikan masih ramai warga kota yang menghargai tugas mereka.
Awang juga berharap mereka yang menerima kompaun sepatutnya melihat kesalahan yang dilakukan sebagai pengajaran.
Bagi anggota yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu dia amat gembira jika warga kota mengikut garis panduan dan undang-undang yang telah ditetapkan.
"Apa yang penting ialah warga kota perlu celik undang-undang dan mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: