Friday, September 27, 2013

Malaysia jejak final

PEMAIN-PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan menewaskan Pakistan 4-2 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru malam tadi.


MALAYSIA mengesahkan slot ke final pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2013 selepas menewaskan Pakistan 4-2 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru malam tadi.
Kemenangan itu meletakkan Malaysia di kedudukan teratas liga selepas mengumpul 12 mata daripada empat perlawanan dan akan melengkapkan aksi terakhir menentang India, Sabtu ini.
Pada aksi malam tadi, Pakistan terlebih dahulu mengejutkan Malaysia apabila Muhammad Dilber menjaringkan gol pertama pada minit ke-25 sebelum Mohd. Zulhairi Hashim mengikat kedudukan selepas bijak menyempurnakan pukulan sudut penalti tiga minit kemudian.
Malaysia bermula garang pada babak kedua dan pemain berbisa, Muhd. Shahril Saabah menambah jaringan hasil satu lagi pukulan sudut penalti untuk Malaysia mendahului 2-1 pada minit ke 40.
Muhammad Tousiq sekali lagi mengikat kedudukan hasil satu pukulan penalti pada minit ke-48.
Bagaimanapun, anak-anak buah Muhammad Dhaarma Raj kembali menguasai permainan, hasilnya kapten pasukan, Mohd. Fitri Saari menambah jaringan ketiga pada minit ke-52.
Mohd. Syamim Mohd. Yusof menambah derita Pakistan apabila mencipta jaringan keempat menerusi pukulan padang pada minit ke-63.
Dhaarma Raj mengakui berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemain-pemain sepanjang empat perlawanan yang diharungi berbanding prestasi tahun lalu.
“Justeru, saya mahu pemain saya memberi tumpuan pada baki perlawanan kerana kami perlu mencapai kemenangan pada edisi kali ini,” katanya.
Beliau turut berharap agar pemain-pemain dapat mengurangkan risiko kecederaan pada aksi terakhir peringkat kumpulan.
“Kami harap, pemain-pemain bebas daripada kecederaan supaya dapat beraksi dengan baik pada final nanti,” katanya.
Pada perlawanan lain, India membelasah Korea 6-1, manakala Argentina mencatat kemenangan pertama selepas menundukkan England 3-0.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: