Tuesday, September 24, 2013

Jangkitan global HIV catat penurunan ketara


BEBERAPA sampel darah mengandungi kuman HIV di sebuah makmal Pusat Penyelidikan AIDS di Abidjan, Ivory Coast pada 13 September lalu.


GENEVA - Jangkitan baharu virus kurang daya tahan penyakit (HIV) berkurangan sebanyak satu pertiga secara keseluruhan sejak 2011, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.
PBB dalam satu kenyataan memberitahu, jangkitan HIV dalam kalangan kanak-kanak turut merosot lebih daripada 50 peratus.
Di peringkat global, sejumlah 2.3 juta orang dijangkiti HIV pada tahun lalu. Angka tersebut mencatat penurunan 33 peratus sejak tahun 2001.
Tahun 2012 turut menyaksikan 260,000 kanak-kanak menghidap HIV di seluruh dunia sekali gus penurunan sebanyak 52 peratus sejak tahun 2001.
"Bilangan jangkitan baharu HIV terus merosot dengan penurunan ketara dilihat dalam kalangan kanak-kanak," kata Pengarah Eksekutif Program Bersama PBB untuk HIV/AIDS (UNAIDS).
Menurutnya, penurunan itu antara lain didorong kemajuan ubat antivirus yang dapat menghalang jangkitan kuman HIV daripada ibu kepada bayi dalam kandungannya.
Dalam laporan tahunannya, UNAIDS menyatakan, ubat-ubatan berkenaan berjaya menghalang lebih 670,000 kanak-kanak daripada dijangkiti virus tersebut.
Pada tahun lalu, sejumlah 1.6 juta orang mati akibat penyakit Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS), turun daripada 1.8 juta orang pada tahun 2011 dan 2.3 juta pada tahun 2005.
Pembawa kuman HIV yang tidak dirawat akan menghidap penyakit AIDS.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: