Wednesday, September 25, 2013

Isu Iklan Merdeka RM450 Ribu: Afdlin Shauki Sedia Akaun Diaudit


Afdlin Shauki
HULU LANGAT: Pengarah dan pelakon Afdlin Shauki bersedia memberi kerjasama terhadap mana-mana pihak yang masih tidak berpuas hati dengan isu penerimaan projek iklan pendek hari kemerdekaan terbitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang mencecah RM450 ribu.
Afdlin atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Aksan, 42, berkata, dia juga sedia menunjukkan akaun bajet yang dikeluarkan bagi pembikinan iklan tersebut untuk diaudit kerana menganggap tiada apa yang perlu diselindungi.
"Saya tahu ramai yang tidak berpuas hati dengan perkara ini tetapi sebenarnya saya dihubungi pada saat-saat akhir oleh Finas meminta saya menghasilkan iklan Merdeka dalam masa singkat dan penggambaran dibuat untuk tiga hari sahaja.
"Dan perlu diingat, menghasilkan iklan berkualiti di televisyen dan pawagam memerlukan kos yang sangat besar. Jadi, jika masih lagi ada yang tidak berpuas hati, saya sedia menunjukkan bukti-bukti bajet untuk diaudit," katanya.
Afdlin ditemui pada rakaman program Liga Lawak SuperStar di Nur Lembah Pangsun Eco Resort di Hulu Langat pada Selasa.
Pada 27 Ogos lalu, Ahmad Idham menerusi Twitter miliknya mempersoalkan langkah Finas melaburkan RM450 ribu untuk menghasilkan treler berjudul Tanah Tumpahnya Darahku sempena hari kemerdekaan untuk ditayangkan di pawagam yang panjangnya hanya 2 minit 40 saat.
Ahmad Idham meminta badan itu memberi penjelasan berhubung kos berkenaan yang dianggap tinggi untuk sebuah iklan pendek. Malah Gabungan Persatuan Karyawan Malaysia (Gafim) turut mempersoalkan agensi itu dalam pemberian tender.
Beritahu Afdlin, walaupun dimata kasar orang ramai melihat jumlah RM450 ribu terlalu besar nilainya untuk penghasilan iklan, namun sebenarnya, kos yang disediakan tidak cukup kerana ia telah melebihi kos jangkaan.
"Orang ingat saya dapat untung besar menerusi projek itu sebaliknya tidak. Saya rugi kerana berlaku beberapa masalah seperti faktor cuaca dan masa yang tidak dapat dielakkan.
"Dan pada masa sama, saya perlu siapkan projek itu secepat mungkin. Bajet pun dah lari, tetapi demi menghasilkan iklan negara, saya tidak kisah," tuturnya.
Bagaimanapun, tambah Afdlin, dia menyifatkan gesaan beberapa penggiat seni yang juga merupakan rakan seangkatan dunia seni tempatan mengenai pemilihannya oleh Finas bukan kerana cemburu tetapi mereka ingin mengetahui ketulusan dalam sesebuah projek yang diberikan.
"Saya tak rasa mereka nak hentam saya. Mereka cuma mahu tahu bagaimana Finas menjelaskan bagaimana sesebuah tender iklan yang mempunyai bajet besar diberi kepada sesebuah syarikat produksi. Itu saja," tuturnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: