Tuesday, September 24, 2013

Aril menangis ketika jadi penyampai radio

WALAUPUN sibuk dengan tugasan tetapnya sebagai deejay di radio Era FM, Aril tetap mahu meneruskan kariernya sebagai penyanyi.


SETELAH bergelar naib juara Akadami Fantasia 7 (AF7) ia menjadi batu loncatan kepada Khairil Azam Pilus atau Aril untuk mengembangkan lagi karier seninya.
Selain bergelar pelakon dan penyanyi, kini Aril melangkah setapak lagi apabila menjadi penyampai radio tetap bersama stesen radio ERA FM sejak bulan Ogos lalu.
"Sejak bulan November 2012 saya sudah menyertai Era FM sebagai penyampai radio secara kontrak dan saya menerima tawaran tersebut kerana ingin mencuba sesuatu dalam bidang baharu.
"Pada mulanya saya berhadapan dengan pelbagai kesukaran sehingga pernah menangis kerana gagal mengendalikan beberapa peralatan di konti. Itu antara pengalaman yang sukar untuk saya lupakan," ujarnya ketika ditemui semasa majlis pelancaran single berjudul Tulus.
Bagaimanapun, Aril menyatakan dia cukup bernasib baik kerana banyak dibantu oleh rakan-rakan penyampai lain yang lebih senior dan terpaksa mengambil masa selama tiga bulan untuk mahir.
Ujarnya, kini dia mampu tersenyum lebar kerana bidang penyampai radio semakin sebati dengan dirinya dan telah dipilih secara tetap serta diberi kepercayaan mengendalikan program Meletop 40 Era dari Isnin hingga Jumaat pukul 8 hingga 12 tengah malam.
Mengulas lebih lanjut mengenai tugasnya sekarang ini di konti radio, dia menafikan pembabitannya itu berpunca daripada karier nyanyiannya yang sekarang ini semakin malap.
"Sehingga kini saya masih lagi aktif menyanyi dan selalu membuat persembahan di merata-rata tempat serta sudah menghasilkan beberapa buah single.
"Selain itu, pada akhir tahun ini juga saya bakal muncul dengan album sulung. Ia mengandungi tujuh buah lagu dan empat daripadanya merupakan lagu baharu, termasuk sebuah lagu duet bersama Ahmad Dhani," jelasnya.
Ketika ditanya tentang risiko yang bakal dihadapinya apabila lagu-lagu nyanyiannya tidak akan diputarkan di stesen radio lain memandangkan dia kini menyertai Era FM, Aril menegaskan perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku.

MASIH AKTIF. Aril kini muncul dengan single duet bersama penyanyi kelahiran Indonesia, Terry yang berjudul Tulus.


Tegasnya, dalam industri nyanyian tempatan yang kecil tindakan sedemikian sudah tentu akan membunuh karier seseorang penyanyi itu dan sepatutnya setiap pihak perlu menyokong antara satu sama lain.
"Saya sedar ia memang berlaku dan saya agak hairan dengan keadaan tersebut. Kalau boleh berilah peluang sama rata kepada penyanyi yang menjadi penyampai radio seperti saya dan beberapa rakan lain," ujarnya.
Menurut Aril, tugas sebagai penyampai radio juga sebenarnya bukanlah menjadi kelebihan kepada dirinya untuk memutarkan lagu-lagu sendiri seperti tanggapan sesetengah pihak.
"Mungkin ramai yang tidak tahu senarai lagu yang dimainkan dipilih oleh seorang eksekutif muzik yang bertugas, malah saya tidak pernah memainkan lagu sendiri ketika ke udara," tegasnya yang dikenali menerusi lagu Ganjil itu.
Duet
Bercerita tentang perkembangan karier nyanyiannya pula, Aril menyatakan dia kini bakal mempromosikan single baharu berjudul Tulus yang dinyanyikan secara duet bersama penyanyi dari Indonesia iaitu Terry.
Ujarnya, single berkenaan sudah mula menjalani promosi di Indonesia sekitar tiga minggu lalu dan sambutan pendengar di sana cukup baik dan memberangsangkan.
"Sudah tentu saya gembira kerana lagu ini semakin diterima ramai dan sudah berada di carta beberapa stesen radio di sana. Tidak mustahil dengan pencapaian ini akan menjadi platform untuk mengembangkan karier nyanyian di negara tersebut.
"Namun begitu, sesuatu yang agak melucukan apabila ramai yang keliru dan menyangka saya ini adalah Ariel Noah, tetapi sekarang mereka sudah mula mengenali diri saya," ujarnya yang sudah merakamkan lagu tersebut bersama Terry sejak tahun lalu.
Sementara itu, Terry yang turut hadir pada majlis pelancaran tersebut berkata, sebelum ini dia telah diberi tiga nama penyanyi lelaki Malaysia untuk berduet dengannya.
Setelah membuat penilaian sedalam-dalamnya, dia kemudian telah memilih Aril sebagai pasangan duet kerana cukup tertarik dengan suara yang dimiliki penyanyi tersebut.
"Apabila mendengar sahaja suara nyanyian Aril, saya dapat merasakan suatu kelainan emosi dengan alunan suaranya itu. Maklum balas yang diterima juga sangat baik dan ramai yang menyatakan paduan suara kami cukup mantap," jelasnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: