Friday, September 27, 2013

10 fakta menarik tentang Malaysia

EZRA (kiri) tekun mendengar penerangan mengenai kehidupan kelawar di Rezab Hidupan Liar Krau, Raub, Pahang daripada seorang penyelidik.


TAHUKAH anda, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dibina untuk menahan salji sekiranya ia melanda ibu kota? Bagaimana pula Menara Berkembar Petronas menjadi konduktor pemancar kilat tertinggi di Malaysia? Tahukah anda, terdapat 140 bahasa yang ditutur oleh seluruh rakyat Malaysia dan hanya satu bahasa sahaja yang langsung tidak merujuk kepada keganasan?
Fakta tersebut telah dirungkai oleh pengacara dan penyampai radio, Ezra Zaid dalam rancangan 10 Things You Don't Know About Malaysia di saluran Astro 555 bermula sejak 17 September lalu.
Menerusi rancangan itu, Ezra bersama pengarah, penerbit dan editor Novista Sdn. Bhd., Harun Rahman telah mengembara ke seluruh negara untuk mendapat 10 fakta menarik mengenai Malaysia yang jarang diketahui oleh rakyat negara ini.
Rancangan televisyen itu bertujuan memberi maklumat mengenai sejarah Malaysia secara santai dan menghiburkan penonton.
Menurut Harun, pada asalnya, rancangan itu mahu mendedahkan 100 fakta tentang Malaysia tetapi ia dipendekkan kepada 10 fakta. Ia lebih sesuai dalam slot rancangan televisyen selama 30 minit.
"Setiap 10 fakta dipilih secara rawak dan kami menanyakan soalan-soalan tersebut kepada responden. Kebanyakan mereka hanya tahu dua daripada 10 fakta. Ia merupakan kaedah untuk menguji pengetahuan rakyat Malaysia melalui pertanyaan itu.

RANCANGAN itu juga memapaparkan keberanian Ezra merentasi jambatan gantung Gunung Kinabalu setinggi 3600 meter dari paras laut.


"Ezra mempunyai personaliti yang agak santai sepanjang mengacara program itu. Ezra diberi tugasan untuk memberi maklumat mengenai fakta dan dia berjaya menyampaikan dengan cara yang menghiburkan," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Bagi pengacara rancangan itu, peluang mengendalikan rancangan itu merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana dia berdepan dengan pelbagai cabaran yang menyeronokkan.
"Sewaktu mengacarakan episod serangan lipas dan kelawar di rezab Hidupan liar Krau, Raub, Pahang, saya tidak menyangka bahawa serangga dan haiwan tersebut sememangnya hidup bebas terutamanya di gua-gua," jelasnya.
Antara fakta lain yang didedahkan dalam rancangan itu ialah jambatan gantung Gunung Kinabalu, serangga terpanjang iaitu Chan's Megastick, perkuburan haiwan peliharaan dan bulatan besar di Putrajaya.
Menurut Pengarah Penerbitan A+E Network Asia, Chris Humprey, pihaknya juga ada merujuk kepada pakar-pakar sejarah untuk mengesahkan kebenaran 10 fakta itu sebelum sesi penggambaran.
"Rakyat Malaysia pasti terkejut dengan fakta-fakta yang dipertontonkan. Rancangan ini juga mampu memupuk perasaan rakyat Malaysia agar lebih menghargai khazanah yang terdapat di negara ini," ujarnya yang menyelia kandungan asal tiga saluran televisyen Network iaitu History, Bio dan Crime & Investigation.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: